Legenda negara label Faisal, Arif Aiman aset utama Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Faisal (kiri) dan Arif Aiman dijangka menggalas tanggungjawab besar buat pasukan negara dalam Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

HARAPAN besar pastinya diletakkan di bahu dua pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi serta Faisal Halim untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Asia 2023.

Gandingan kedua-dua penyerang itu merupakan antara faktor utama di sebalik prestasi memberangsangkan skuad kebangsaan sepanjang tahun lalu dengan beberapa gol penting dijaringkan mereka, lapor Stadium Astro.

Selain itu, rekod masing-masing di peringkat kelab juga tidak boleh dipandang remeh, sekali gus membuktikan kepentingan mereka dalam skuad kendalian Kim Pan-gon.

Pandangan tersebut turut diakui bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin yang menganggap gabungan antara Faisal dan Arif Aiman akan mengucar-ngacirkan pasukan lawan.

"Pasukan yang ditubuhkan Pan-gon merupakan pasukan yang kuat dan setiap posisi ada peranan masing-masing. Dia akan buat sesuatu untuk pastikan pasukan kebangsaan mampu pergi jauh.

"Kekuatan kita adalah di bahagian serangan untuk pastikan kita boleh pergi jauh. Arif Aiman dan Faisal mampu membuat pergerakan yang boleh mengelirukan pihak lawan, mereka berdua pemain terbaik di bahagian sayap," katanya.

BACA LAGI: Syahmi Safari dedah perubahan sesi latihan KPG, anggap jurang dengan negara Arab tak besar

Indra-Putra

Indra Putra mempunyai rekod jaringan tersendiri bersama skuad kebangsaan.

Untuk rekod, Faisal, atau juga dikenali sebagai Mickey menjaringkan enam gol dalam kesemua pertandingan buat Harimau Malaya tahun lalu, termasuk jaringan kemenangan ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan.

Bagi Arif Aiman pula, statusnya sebagai antara pemain termuda dalam skuad tidak menyekatnya untuk menonjolkan diri dengan enam gol tahun lalu membuktikan nilainya dalam pasukan.

"Setiap pemain perlu menggalas nama pasukan kebangsaan sementara berada dalam Piala Asia merupakan pentas besar untuk mencipta nama dan sejarah pasukan kebangsaan," kata Indra Putra lagi.

Indra sebelum ini juga pernah menempa nama dalam Harimau Malaya apabila menjadi satu-satunya pemain yang menjaringkan gol sepanjang kempen Piala Asia 2007.

Secara keseluruhan, penyerang Kelantan United tersebut mencatatkan 41 penampilan bersama pasukan kebangsaan dengan 15 jaringan dihasilkan dalam kira-kira 13 tahun perkhidmatannya buat negara, berdasarkan statistik dikeluarkan laman sesawang transfermarkt.

Harimau Malaya bakal memulakan aksi Piala Asia 2023 dengan aksi berdepan Jordan pada 16 Januari sebelum bertemu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram