EMPAT lelaki termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah persatuan bola sepak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta.
Menurut laporan media tempatan, keempat-empat suspek lelaki termasuk CEO persatuan bola sepak negeri di Utara tanah air itu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek litar lumba dan loji takungan air pada empat tahun lalu.
Kesemua suspek yang berusia antara 40 hingga 60 tahun berkenaan telah ditahan sekitar pukul 5.00 hingga 6.30 petang pada Khamis ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi merakam keterangan.
Dilaporkan, mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat untuk proses permohonan reman sebelum dikenakan reman selama tiga hari hingga Ahad (7 Januari) ini.
Empat lelaki termasuk CEO sebuah persatuan bola sepak direman bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM6 juta di Mahkamah Majistret Alor Setar. — Kosmo
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.”
“Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” menurut sumber SPRM.
Meninjau ruangan komen di Facebook, penyokong seakan-akan dapat menduga siapakah gerangan CEO persatuan bola sepak yang ditahan SPRM tersebut dengan ada sebahagian mereka memetik nama individu berpengaruh kelab di Utara tanah air.
Walau siapapun CEO kelab berkenaan, budaya rasuah sepatutnya tidak berlaku dalam industri bola sepak tanah air kerana ia hanya membawa imej negara buruk di mata dunia dengan liga Malaysia juga antara yang disegani di rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram