Ramai mula pangkah khabar angin bekas import Terengganu ke Stadium Darul Aman


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Prestasi cemerlang Sony (kanan) gagal menjamin tempatnya dalam skuad Sang Penyu musim depan. — Facebook/Terengganu FC

SETAKAT ini, Terengganu FC menjadi salah sebuah pasukan Liga Super yang sudah mengeluarkan senarai pemain tidak akan dikekalkan untuk musim akan datang.

Pengumuman berkenaan dikeluarkan pada pertengahan Disember lalu dengan nama penyerang sayap, Sony Norde disebut sebagai salah seorang pemain yang tidak akan lagi beraksi buat skuad Sang Penyu.

Kehilangannya dijangka menjadi satu tamparan buat pasukan Pantai Timur itu apabila bekas tonggak Melaka United tersebut hadir sebagai ayam tambatan kelab sepanjang musim.

Dalam 20 penampilannya dalam Liga Super, pemain sayap lincah terbabit merekodkan lima gol peribadi di samping mencatatkan enam bantuan jaringan untuk membantu Terengganu FC menduduki tangga keenam carta.

Bagaimanapun, usianya yang sudah mencecah 34 tahun menyaksikan pihak pengurusan menolak peluang menawarkannya kontrak baharu untuk kekal bersama skuad Sang Penyu musim depan.

415258376_382869100800639_3895536366750913788_n

Kira-kira 10 pemain dilepaskan skuad Sang Penyu dalam satu kenyataan baru-baru ini. Facebook/Terengganu FC

Jadi, Sony yang ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan membuatkan namanya kian bertebaran di media sosial apabila beberapa kelab tempatan dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Antara yang disebut-sebut sebagai destinasi baharu buat pemain kelahiran Haiti berkenaan ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC kerana mereka berhasrat memperkuatkan jentera serangan pasukan.

Meskipun memegang rekod sebagai antara skuad terbaik dari segi serangan dalam Liga Super 2023, impak yang terhad daripada pemain sayap, Fayadh Zulkifli Amin mendesak pasukan Utara tanah air itu untuk membuat rombakan.

Oleh itu, sekiranya Kedah berjaya menyambar Sony untuk kempen akan datang, terdapat kemungkinan besar dia akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat pasukan beraksi di pentas Asia.

Namun, komen di media sosial menceritakan yang sebaliknya apabila segelintir penyokong Hijau Kuning hadir memberikan komen dalam menolak kehadirannya pada jendela perpindahan kali ini.

2468656

Sony Norde dilepaskan skuad Sang Penyu meskipun memainkan peranan penting buat mereka.

BACA LAGI: Kecewa 'dibuang' Terengganu, Sony Norde kongsi dapat 3 tawaran kelab lain

"Sampai bila mahu menggunakan import 'kitar semula'? Pemain lain sudah tahu gaya permainannya, adalah lebih baik sekiranya dapat membawa masuk import dari Afrika," kata Hasridzuan Hassan.

"Tak mungkin rasanya, mesti dia fikirkan gaji dan risau sekiranya tidak menerimanya pada masa ditetapkan," ujar John Zehn Li dalam nada sindiran.

"Dah berapa lama agaknya dia ni beraksi dalam Liga Super, risau pertahanan tempatan pun sudah tahu akan gerakannya di atas padang," kata Rizal Halim.

Berdasarkan khabar angin, pemain bertubuh sasa tersebut dilepaskan Terengganu FC kerana permintaan gajinya yang terlalu tinggi sehingga dikhuatiri memberikan tekanan buat struktur kewangan kelab.

Kegusaran berkenaan pastinya turut diberikan perhatian daripada Kedah dengan kelab tersebut turut mengalami isu tunggakan gaji sehingga beberapa bulan.

Belum ada kenyataan rasmi KDA FC berhubung kehadiran Sony ke Stadium Darul Aman setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram