[VIDEO] Bukan hanya Amirul Hisham, ada lagi 4 pemain nyaris gantung but lepas terlibat kemalangan


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Amirul Hisyam kini sedang menerima rawatan di hospital swasta di Alor Setar.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) dikejutkan dengan berita pemain tengah Amirul Hisyam Awang Kecik yang mengalami kecederaan selepas terbabit kemalangan di Bandaraya Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Amirul Hisyam dilaporkan mengalami kecederaan berikutan kemalangan jalan raya berpunca daripada sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mengejut ketika Amirul Hisyam menunggang motosikal di Jalan Alor Mengkudu, Kedah.

Pemain berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan seperti koyak pada bahagian mulut, patah hidung dan keretakan dagu.

BACA LAGI: Safawi Rasid ikut stail Neymar, tukar 'senjata' baharu bawa cabaran Malaysia ke Piala Asia

Susulan insiden itu, dia kini sedang menerima rawatan di hospital swasta di Alor Setar.

Ini bukanlah kali pertama pemain bola sepak terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga hampir mengugat karier bola sepak mereka.

Majoriti senaraikan empat pemain selain Amirul Hisyam yang pernah mengalami kemalangan jalan raya:

1. Muhamad Azmeer Aris dan Mohammad Amer Azahar

Tahun lepas peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita kemalangan membabitkan dua pemain Penang FC, Muhamad Azmeer Aris dan Mohammad Amer Azahar selepas kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori yang sedang terbakar pada April 2023.

Difahamkan kedua-dua pemain itu dalam perjalanan dari Balik Pulau ke pusat bandar George Town bagi menyertai perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, dua pemain tersebut tidak mengalami kecederaan serius dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut laporan media, kemalangan itu terjadi apabila sebuah lori yang sedang menaiki bukit tiba-tiba terbakar lalu mengundur ke belakang sehingga terkena kereta pemain bola sepak tersebut.

BACA LAGI: Johan Ghazali, JDT antara 5 momen terbaik sukan Malaysia pada 2023

2. Muhammad Syafiq Ahmad

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad pernah terlibat dalam satu kemalangan yang turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari serta ibu mertuanya.

Dalam kejadian itu, Syafiq cedera ringan selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai dipandunya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Syafiq Ahmad

Kenderaan Syafiq ketika kejadian kemalangan tersebut.

Kemalangan tersebut berlaku dipercayai berpunca Syafiq terlelap sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas dalam kemalangan di Kilometer 163.6 berhampiran Plaza Tol Jawi pada 7 Disember 2020.

Kejadian itu menyebabkan isterinya mengalami cedera parah manakala anak perempuannya dilaporkan cedera ringan.

Rozaimi Abd Rahman

Kenderaan Rozaimi ketika kejadian kemalangan tersebut.

3. Rozaimi Abdul Rahman

Bekas penyerang Sabah FC, Rozaimi Abdul Rahman pernah terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan dia mengalami cedera parah di Batu 3.5, Jalan Tuaran, Sabah pada 2015.

Penderitaan bekas penyerang sensasi Harimau Muda itu berterusan apabila gagal mendapat semula rentak permainannya.

Rozaimi pernah dinobat antara 10 pemain terbaik Asia pada 2012 dan mendapat gelaran 'Neymar Malaysia' selepas skil yang dipamerkannya ibarat bintang Brazil itu.

Selepas sembilan tahun berlalu, Rozaimi kini aktif beraksi di liga amatur bersama Machan FC dalam kejohanan Piala Al-Ikhsan.

Kali terakhir Rozaimi beraksi di pentas profesional bersama Kedah Darul Aman FC dan JDT II sebelum menjadi ejen bebas pada 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram