SEJAK mencipta debut dalam Liga Super 2020 bersama Johor Darul Takzim (JDT), nama Arif Aiman Hanapi terus meningkat sebagai salah seorang permata paling bersinar negara.
Dua gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada 2021 dan 2022 menjadi bukti bahawa pemain berusia 21 tahun berkenaan memiliki masa depan cukup cerah.
Bukan sahaja cemerlang bersama Harimau Selatan, malah penyerang sayap itu turut menggalas tugas dengan sempurna ketika diberi peluang beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Untuk rekod, sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan, penyerang kelahiran Pahang itu tampil cemerlang ketika aksi persahabatan berdepan Papua New Guinea Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jun lalu dengan meledak empat gol dalam perlawanan tersebut.
Nama Arif Aiman turut tersenarai dalam pilihan ramai fantasi Piala Asia setakat ini. — Twitter
Dalam pada itu, setakat ini, nama Arif Aiman terus melonjak di pentas Asia apabila turut tersenarai dalam dua kategori liga fantasi Piala Asia iaitu pemain pilihan dan ketua pasukan pilihan.
Perkara itu dikongsikan di laman X oleh pengguna media sosial, @NizamArchibald yang mengatakan bahawa Arif Aiman antara pemain yang menjadi pilihan penyokong fantasi tanah air dan luar negara.
"Arif Aiman menjadi pilihan ramai nampaknya atau ramai orang Malaysia dan Korea yang join ini?," ciapnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Arif Aiman, bintang termahal Liga M 'berebut' legasi No.7 Aidil Zafuan
Dalam hantaran tersebut, selain Arif Aiman yang tersenarai untuk kedua-dua kategori itu, penyerang berbisa Korea Selatan, Son Heung-min juga antara yang diundi oleh penyokong bola sepak.
Kapten pasukan Korea Selatan itu meraih 60 peratus undian dalam kategori pemain pilihan, manakala rakan sepasukannya, Kim Min-jae mendapat 53 peratus diikuti oleh Arif Aiman sebanyak 36 peratus.
Bagi pilihan untuk ketua pasukan pula, Heung-min menjadi pilihan pertama dengan 39 peratus diikuti oleh penyerang Iran, Alireza Jahanbakhsh dan Arif Aiman yang masing-masing meraih 11 peratus dan enam peratus.
Bagaimanapun, undian tersebut tidak kekal dan akan berubah melihat kepada pilihan ramai mengenai pemain yang diminati oleh mereka.
Menjelang perlawanan Piala Asia di Qatar, pastinya nama Arif Aiman akan terus menjadi tumpuan penyokong bola sepak berikutan kelincahannya di atas padang.
Malaysia akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain dan Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram