[VIDEO] Legenda Kelantan, Wan Ezila Wan Daud meninggal dunia di Kota Bharu


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Wan Ezila merupakan seorang pemain tengah yang cukup dihormati pada era 80-an sehingga awal 90-an.

PENYOKONG bola sepak tanah air digemparkan dengan berita pemergian legenda Kelantan FA dan Terengganu FA, Wan Ezila Wan Daud yang menghembuskan nafas terakhirnya pada awal pagi Jumaat.

Perkara berkenaan dikongsikan rata-rata pengguna media sosial yang memberikan ucapan takziah kepada keluarga serta kenalan selain mendoakan yang terbaik buatnya.

Berdasarkan maklumat semasa, dia meninggal dunia di Hospital Kota Bharu, Kelantan dengan punca masih belum diketahui.

Wan Ezila sebelum ini pernah mempamerkan kualitinya untuk dua kelab Pantai Timur itu dengan beberapa kejayaan domestik pernah dikecapinya.

Wan Ezila menjaringkan gol di Stadium Shah Alam, Selangor kira-kira 30 tahun lalu.

Antara momen yang pastinya sukar dilupakan mengenai pemain tersebut adalah ketika dia menjaringkan gol dalam aksi Piala Malaysia antara Kelantan FA dan Selangor FA di Stadium Shah Alam, Selangor pada 1994.

Selain itu, pemain tengah tersebut juga masih mengambil tahu secara dekat mengenai perkembangan Kelantan apabila pernah menyeru agar perubahan dapat disaksikan terhadap pasukan terbabit.

BACA LAGI: Legenda bola sepak Malaysia, Shahruddin Abdullah meninggal dunia di sisi anak

Wan Ezila juga pernah terlibat dalam satu perlawanan amal antara pasukan bekas pemain Terengganu FA dan Kelantan FA untuk mengutip dana buat bekas pemain negara, Allahyarham Hashim Mustapha pada 2022.

Dia sebelum ini difahamkan membantu program pembangunan bola sepak di Kelantan bersama Akademi Bola Sepak Kijang di Kota Bharu, Kelantan yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pemain Bawah 16 Tahun (B-16). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram