Piala Asia: Satu perlawanan sudah cukup, tegas legenda penyerang kebangsaan


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Malaysia akan bertemu Syria dalam satu perlawanan persahabatan tertutup di Qatar pada Isnin. — Facebook/FAM

BEKAS penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof, menganggap aksi persahabatan tunggal Harimau Malaya berdepan Syria pada Isnin ini sudah memadai untuk ketua jurulatih, Kim Pan-gon, menilai tahap kecergasan barisan pemainnya menjelang saingan Piala Asia di Qatar bermula 12 Januari ini.

Nizaruddin berharap Syria mampu mempamerkan perlawanan berintensiti tinggi dalam usaha Malaysia mempersiapkan pasukan sebelum aksi pertama bertemu Jordan pada 16 Januari depan, lapor Stadium Astro.

BACA LAGI: [VIDEO] Berjuang sepenuh jiwa demi lencana di dada, PM Anwar titip mandat buat Harimau Malaya di Piala Asia Qatar

Dia juga percaya Pan-gon dan barisan kejurulatihannya akan menggunakan sebaik mungkin aksi pemanas badan itu sebagai medan bagi menentukan kesebelasan terbaik.

Meskipun hadir ke Qatar sebagai pasukan bukan pilihan, Nizaruddin optimis Malaysia mampu mencipta kejutan dan mencuri mata, terutama ketika menentang Jordan dan Bahrain sebelum bertemu Korea Selatan.

Nizaruddin

Nizaruddin ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

"Saya rasa satu perlawanan persahabatan sudah cukup untuk menampung (persiapan) tiga perlawanan yang akan kita hadapi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tetapi saya berharap pasukan yang kita akan jumpa ini tidak jauh dengan kekuatan Korea Selatan dan lebih sedikit daripada Jordan dan Bahrain.

"Kerana skuad negara perlukan aksi pemanas badan untuk mencari rentak dan jurulatih Kim Pan-gon juga sudah pasti mahu mengetahui pemain mana yang sedang berada dalam keadaan terbaik.

"Peluang untuk menang dalam dua perlawanan selain menentang Korea amat besar cuma kena pandailah dalam percaturan berdasarkan apa yang jurulatih mahukan untuk mendapatkan tiga mata," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram