PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen Piala Asia 2023 Qatar dalam aksi pembukaan menentang Jordan di Stadium Al-Janoub pada 16 Januari nanti.
Ucapan itu disampaikannya menerusi laman sosial peribadi miliknya yang mendoakan agar skuad bimbingan Kim Pan-gon mampu melakukan yang terbaik dalam kempen Piala Asia kali ini.
"Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.
"Ini pejuang hebat pasukan Harimau Malaya bertarung, sabar, kukuh semangat, istiqamah, 42 tahun kita menanti dan sekarang saudara-saudara bangkit sebagai pejuang dan bertarung.
Kami doakan insya-ALLAH akan mencapai sukses, sekali lagi, saya mengucapkan selamat maju jaya selamat berjuang kepada pasukan Haraimau Malaya," ucapnya pada Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Tewaskan penyerang kebangsaan, Ivan Mamut pemain Croatia paling banyak skor 2023
Selepas 42 tahun penantian layak secara merit, Harimau Malaya akan memulakan perlawanan pertama menentang pasukan yang berada di ranking ke-87 dunia pada 16 Januari sebelum melayani lawan yang lebih kuat iaitu Bahrain dan Korea Selatan.
Dengan prestasi semasa Harimau Malaya di bawah kepimpinan Kim Pan-gon tidak mustahil skuad kebangsaan mampu mara lebih jauh meskipun Piala Asia kali ini merupakan penampilan pertama selepas 42 tahun.
Skuad kebangsaan diperkuatkan dengan pemain naturalisasi baharu, Romel Morales dan bekas bintang La Liga, Natxo Insa yang kembali ke dalam senarai akhir 26 pemain selepas kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram