Pemain warisan terima tawaran 4 kelab Liga M, dakwa FAM sekadar janji manis bantu dapatkan pasport Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Corak permainan Armin persis bintang Real Madrid, Toni Kroos.

DALAM kerancakan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 1 Ogos 2023, seorang pemain warisan Jerman-Singapura-Malaysia masih belum menyertai mana-mana pasukan untuk dia terus meneruskan karier sebagai pemain bola sepak tempatan.

Pemain tersebut ialah Armin Maier Rafi, 26, yang pernah beraksi untuk dua pasukan gergasi Liga Malaysia iaitu Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.

Armin dikenali dengan corak permainan persis pemain bintang Real Madrid, Toni Kroos dan berpengalaman beraksi dalam beberapa liga di Eropah.

Namun begitu, Armin masih belum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan meskipun dia mendakwa mempunyai pertalian darah dengan negara ini melalui datuknya.

Armin Selangor FC

Armin pernah mewakili Selangor.

Menurut Armin, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk beraksi dalam Liga Malaysia disebabkan masih belum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana tidak mempunyai pasport.

"Buat masa ini saya berada di Jerman dan sudah terima beberapa tawaran daripada liga bawahan Jerman.

"Sebenarnya saya nak bermain di Malaysia dan sudah ada tawaran dari JDT dan beberapa kelab lain dalam Liga M.

"Tetapi ketika ini agak susah untuk saya mendapatkan pasport sebab hubungan saya dengan Malaysia hanya melalui datuk dari Johor," katanya pada Majoriti.

Tambahnya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, antara individu yang berusaha untuk membantunya mendapatkan pasport bagi membolehkan dia beraksi dalam Liga M.

Dakwanya lagi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga berjanji untuk membantunya tetapi buat masa ini tiada sebarang khabar berita daripada FAM.

"FAM dah janji mereka akan push dan bantu dengan pasport saya, tapi saya ada maklumat bahawa mereka hanya push pasport Richard Chin buat masa ni.

"Saya masih bersabar walaupun mereka sudah berjanji yang akan membantu saya.

"TMJ pun nak bantu saya dan jumpa Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, tapi FAM 'block' proses pasport saya.

"Situasi yang sama dihadapi Kobe Chong, dia pun nak mewakili Malaysia, tapi tak ada sokongan dari FAM.

"Tanpa sokongan FAM, sangat susah untuk mendapatkan pasport Malaysia. Itulah masalah yang saya hadapi sebab dengan pasport Malaysia saya boleh beraksi dalam Liga M dan pasukan kebangsaan," dakwanya.

JDT merupakan kelab pertama Armin (tengah) di Liga Malaysia.

Dalam pada itu, Armin mendedahkan dalam perbincangan dengan beberapa pasukan dari Jerman, Eropah dan Asia serta pernah mendapat tawaran daripada kelab Liga M.

"Sabah FC, Kuala Lumpur City FC (KL City), JDT dan Sri Pahang FC antara pasukan yang menawarkan kontrak bersama saya.

"Saya dalam perbincangan dengan kelab Jerman dan juga kelab lain di Eropah serta Asia iaitu Thailand, Korea Selatan dan Indonesia," ujarnya.

Untuk rekod, Armin pernah beraksi bersama skuad muda Singapura (B-22) namun menolak untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara itu kerana lebih mencintai Malaysia.

"Fandi Ahmad pernah nak saya untuk pasukan kebangsaan Singapura, tapi impian saya hanya main untuk Malaysia, sebab saya lebih sayang Malaysia. Malaysia is my home," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram