[VIDEO] YB Baddrol Bakhtiar minta maaf kepada 'Mr Photographer' gara-gara tendangan tersasar


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Baddrol pernah dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Sedekad Kedah antara 2011 hingga 2020. — Agensi

LEGENDA Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar memuat naik permohonan maaf menerusi 'status' WhatsApp miliknya selepas tendangan yang dilakukannya itu mengenai seorang jurugambar yang berada di tepi gawang gol.

Bekas pemain Kedah dan Sabah FC itu kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Gurun selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Ogos tahun lalu.

Baddrol kini semakin menonjolkan bakatnya sebagai ahli politik selepas dilihat semakin membiasakan diri dengan kerjaya baharunya dengan mula memberikan pengaruh di kawasan yang dimenanginya itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengulas bola sepak cuit hati ramai, buat 'sound effect' kartun ketika mengulas secara langsung

Menerusi video yang dikongsikan Baddrol itu dia dilihat sedang bermain bola sepak bersama penduduk kampung sambil menyantuni mereka.

Namun tanpa diduga seorang jurugambar menjadi mangsa tendangan bekas kapten Kedah dan Sabah itu sehingga jatuh terduduk.

Jika melihat daripada video tersebut, bekas pemain berusia 35 tahun itu masih mempunyai teknik sepakan yang baik meskipun sudah lama tidak beraksi secara profesional.

Untuk rekod, Baddrol mula mewakili Kedah bersama skuad Piala Presiden sebelum diserapkan ke pasukan utama pada 2006.

Bersama Kedah, bekas pemain tengah itu berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Perdana dan Piala Sumbangsih.

Pada PRN Ogos lalu, Baddrol memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi sekali gus mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram