DUGAAN demi dugaan dialami Kelantan FC musim ini apabila mereka berdepan satu tahun yang cukup mendukacitakan di dalam dan di luar padang.
Kegagalan pihak pengurusan untuk membayar gaji pemain pada waktu ditetapkan menyebabkan kesemua daripada mereka memilih untuk tidak mempamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan.
Situasi menjadi semakin parah setelah majoriti daripada pemain senior memilih untuk meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) demi kelangsungan hidup masing-masing.
Kesan daripada perkara itu menyaksikan prestasi Kelantan FC semakin teruk kerana mereka terpaksa memberi kepercayaan penuh terhadap pemain muda memasuki separuh kedua musim.
Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab seperti terus mengendahkan perkara itu sehingga menyebabkan mereka terperosok di kedudukan tercorot Liga Super dengan rekod pertahanan terburuk turut dipecahkan kepada mereka.
Nasib buruk Kelantan FC seperti masih belum berunsur apabila baru-baru ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kelab Pantai Timur itu tidak layak beraksi dalam divisyen teratas musim depan.
Kelantan FC berada di kedudukan tercorot Liga Super 2023. — Facebook/Sabah FC
Meskipun sempat menghantar dokumen diperlukan, semakan pihak luar menyaksikan masih terdapat pemain serta staf kejurulatihan tidak menerima bayaran seperti mana ditetapkan.
Tetapi, situasi tersebut masih belum cukup untuk memberi pengajaran buat Kelantan FC dengan mereka masih tekad membuat rayuan sebagai ikhtiar terakhir mereka memperolehi lesen kebangsaan.
Keputusan itu bagaimanapun tidak disokong pengikut tegar skuad TRW apabila mereka berasakan langkah terbaik untuk pasukan adalah dengan beraksi di luar Liga Super musim depan.
Pandangan terbabit turut dikongsikan jurulatih ternama tanah air, Irfan Bakti Abu Salim yang berasakan terdapatnya kemungkinan isu demikian masih boleh berulang.
"Apa yang nak dirayu lagi sekiranya pihak pengurusan tidak boleh membayar gaji sehingga empat, lima mahupun enam bulan, hanya buat malu kepada orang lain sahajalah.
"Saya risau sekiranya rayuan mereka diterima, akan berlaku perkara yang sama. Ini kerana pada tahun lalu, apabila ada pihak yang cuba membuat pendedahan, masing-masing akan dibuang (kerja) begitu sahaja," katanya kepada Majoriti.
Orang ramai mendesak pemilik kelab, Norizam Tukiman untuk mencari penyelesaian segera. — Facebook/TRW Kelantan FC
Dalam kenyataan dikeluarkan badan penganjur bola sepak tempatan itu, Kelantan FC hanya diberikan tempoh sehingga 8 Januari untuk membuat rayuan terakhir.
Mereka bagaimanapun masih perlu menghantar dokumen diperlukan selain terpaksa membayar denda sebanyak RM20,000 dikenakan sekiranya masih berhasrat beraksi dalam Liga Super 2024/25.
Irfan Bakti turut berkata, kehilangan pasukan Pantai Timur berkenaan hanya akan menimbulkan satu suasana berbeza, namun ia masih perlu diteruskan demi pembangunan bola sepak negara.
"Mungkin jika hanya mempunyai 13 pasukan akan memberi kejanggalan sedikit, saya berasakan MFL akan berbuat sesuatu kerana ada kelab Liga M3 yang layak.
"Tetapi, sebelum ini pernah berlaku liga berlangsung dengan hanya 11 pasukan, mungkin janggal sedikit. Tetapi ia akan tetap diteruskan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram