Legenda bola sepak Malaysia, Shahruddin Abdullah meninggal dunia di sisi anak


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Shahruddin Abdullah merupakan wira bola sepak Malaysia dan Pulau Pinang. — Agensi

LEGENDA bola sepak Pulau Pinang, Shahruddin Abdullah telah disahkan meninggal dunia pada pada usia 75 tahun.

Shahruddin yang digelar sebagai The Black Cat dilaporkan meninggal dunia akibat sesak nafas dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Taiping pada 5.07 pagi hari Khamis. Sebagai rekod, Shahruddin meninggalkan tujuh orang anak.

Dia merupakan legenda dalam bola sepak Pulau Pinang kerana menjadi wira pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia pada 1974 yang merupakan kali terakhir gelaran itu singgah di Pulau Mutiara.

Ketika itu, Pulau Pinang berjaya menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Anak keduanya Shahrina Shaharuddin, 42, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak.

"Arwah memang menghidap penyakit asma sejak dua tahun lalu, dan Sabtu lepas dia mengadu sakit jadi kami bawa ke hospital.

"Arwah kemudian ditidurkan pada hari sama dan oksigen pula tidak stabil. Selepas dimasukkan ke wad ada perkembangan positif pada Isnin lepas, namun beberapa hari ini tiada respons daripadanya," katanya memetik laporani Bernama.

Beliau berkata, jenazah akan disembahyangkan di Surau Nurul Hidayah Kampung Bukit Jana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting selepas Zohor.

Sebelum ini, Shahruddin sudah pun menerima rawatan di Hospital Taiping kerana dia mengalami asma serta masalah darah tinggi.

Shahruddin merupakan seorang pemain handalan ketika eranya. Bukan sekadar jaguh bersama Pulau Pinang, tetapi dia juga merupakan antara wira negara di peringkat antarabangsa.

The Black Cat pernah membantu Malaysia meraih gelaran Pestabola Merdeka pada tahun 1968, 1973 dan 1974.

Selain itu, Shahruddin juga menjadi sebahagian daripada barisan skuad Sukan Olimpik Malaysia yang beraksi di Munich pada tahun 1972.

Allahyarham yang diberi gelaran seperti 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter' mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram