SAINGAN Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada 16 Januari bakal menyaksikan Harimau Malaya berdepan Jordan dengan ia merupakan cabaran pertama buat mereka.
Jurang besar antara kedua-dua pasukan dalam ranking semasa FIFA pastinya memberi kelebihan buat negara dari Timur Tengah terbabit dalam misi mendapatkan mata penting.
Selain itu, kelebihan dimiliki Jordan yang membawa Yazan al-Arab dan Noor al-Rawabdeh untuk kempen kali ini dengan masing-masing berpengalaman beraksi di Selangor FC.
Bagaimanapun, tumpuan pastinya diberikan terhadap Yazan yang merupakan bek tengah buat skuad kebangsaannya sejak mencipta debut kira-kira tujuh tahun lalu.
Persiapan akhir sedang sibuk direncanakan skuad kebangsaan menjelang aksi Piala Asia. — Facebook/FAM
Dua musim yang diluangkannya dalam Liga Super pasti memberikannya kelebihan untuk mengetahui kelebihan serta kekurangan pemain Harimau Malaya kali ini.
Jadi, sekiranya pasukan negara bercita-cita membawa pulang tiga mata penuh, mereka perlu memikirkan satu langkah berbeza supaya rentak permainan tidak terjejas.
Tetapi, melihat kepada skuad diumumkan setiap negara dalam Piala Asia 2023, Yazan bukanlah satu-satunya bekas pemain Liga Super yang bakal mewakili negara masing-masing.
Lebih menarik lagi, ada dalam kalangan mereka bergelut untuk menemui rentak terbaik dalam Liga Super, namun masih diberikan peluang berikutan kebolehan pemain berkenaan sesuai dalam pasukan.
Kehadiran mereka semestinya perlu diberikan perhatian meskipun peluang skuad kebangsaan bertemu pencabar lain adalah tipis kerana lawan yang sukar dalam Kumpulan E.
Bagaimanapun, adalah tidak salah sekiranya Majoriti menyenaraikan tiga bekas import Liga Super yang bakal beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 tidak lama lagi.
1. Ernist Batyrkanov (Kelantan United, Kyrgyzstan)
Tahun lalu, skuad kebangsaan berpeluang bertemu Kyrgyzstan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dalam pertembungan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Selepas ketinggalan dengan dua gol, kebangkitan serta karakter dipamerkan anak-anak buah Kim Pan-gon menyaksikan negara berjaya membawa pulang tiga mata penting apabila skor terakhir direkodkan 4-3 berpihak kepada Harimau Malaya.
Bagaimanapun, apa yang cukup menarik dalam perlawanan itu adalah apabila bekas penyerang Kelantan United, Ernist Batyrkanov hadir sebagai salah seorang penjaring.
Ernist tidak memberikan sebarang impak buat skuad Kijang Hijau. — Facebook/Kelantan United FC
Perkara tersebut sememangnya cukup mengejutkan memandangkan pemain Kyrgyzstan itu tidak pernah mencetak sebarang jaringan sepanjang separuh musim bersama skuad Kijang Hijau.
Dia kini difahamkan sudah menyertai sebuah kelab di negara kelahirannya, Abdysh-Ata Kant dengan dia sudah kembali menemui sentuhan jaringan sekiranya hendak dibandingkan ketika dia masih beraksi dalam Liga Super.
Jika prestasi tersebut mampu diteruskan, tiada sebab untuk Ernist sukar menjaringkan gol dalam kempen Piala Asia kali ini meskipun perlu berdepan Thailand, Arab Saudi dan Oman dalam peringkat kumpulan.
Untuk rekod, penyerang berusia 25 tahun berkenaan sudah mencipta tiga gol dalam 18 penampilannya buat skuad senior Kyrgyzstan sejak membuat debut pada 2018.
2. Hilal el-Helwe (Penang FC, Lubnan)
Untuk kempen Piala Asia kali ini, Lubnan dilihat mempunyai peluang untuk meloloskan diri ke peringkat kalah mati berdasarkan skuad dibawa pengendali pasukan, Miodrag Radulovic.
Antara nama yang sememangnya cukup menarik untuk dilihat ialah dua pemain sayap, Hilal El-Helwe dan Soony Saad dengan kedua-dua mereka pernah beraksi dalam Liga Super bersama Penang FC.
Namun, tumpuan lebih besar perlu diberikan terhadap Hilal yang tidak dapat mengukuhkan statusnya sebagai antara import terbaik pernah menyarung jersi skuad Harimau Kumbang.
Kontrak Hilal bersama skuad Harimau Kumbang tidak disambung pada 2022. — Facebook/Penang FC
Berdasarkan statistik, pemain berusia 29 tahun berkenaan mencatatkan lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 19 penampilan Liga Super 2022.
Pulangan kurang berbaloi itu menyaksikan tonggak skuad kebangsaan Lubnan tersebut tidak dikekalkan sehingga menyaksikannya perlu kembali ke negara kelahirannya dan beraksi bersama Bourj FC.
Pengalamannya bersama Lubnan membolehkannya mengukuhkan tempat dalam skuad kali ini dengan Radulovic pastinya mahu menggunakan kebolehannya sepanjang kempen.
3. Yazan al-Arab (Selangor FC, Jordan)
Meskipun sudah dibincangkan di atas, nama Yazan masih boleh diletakkan dalam senarai pemain yang dipanggil untuk mewakili negara dalam Piala Asia walaupun sedikit bergelut sepanjang beraksi dalam Liga Super.
Bek tengah berusia 27 tahun berkenaan pernah menghabiskan dua musim bersama Selangor FC, namun tidak mengukuhkan tempatnya sebagai pilihan utama mereka.
Prestasi tidak menentu serta kesukaran menyesuaikan diri menyaksikannya beberapa kali digugurkan dengan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih berminat untuk menggunakan pertahanan tengah muda, Shahrul Nazeem Zulpakar dan Harith Haiqal.
Yazan beraksi untuk dua musim bersama skuad Gergasi Merah.
Tidak cukup dengan itu, pengakhirannya dalam Liga Super juga cukup mengejutkan kerana bek tengah berbadan sasa terbabit dikenakan penggantungan seumur hidup daripada aktiviti bola sepak tanah air.
Denda itu dikenakan selepas Yazan didapati menendang pengadil perlawanan setelah tumpas secara agregat dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pertengahan musim lalu.
Bek tengah tersebut kini sudah beraksi bersama kelab Iraq, Al Shorta dengan dia kembali menemui rentak di atas padang sehingga menyaksikannya diletakkan dalam skuad Jordan ke Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram