[VIDEO] Arif Aiman, bintang termahal Liga M 'berebut' legasi No.7 Aidil Zafuan


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Aidil Zafuan (jersi no.7) satu-satunya pemain yang menikmati 10 kejuaraan Liga Super. — Facebook/JDT

SELEPAS 11 tahun berkhidmat bersama Johor Darul Takzim (JDT), pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak akhirnya memilih untuk mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak tanah air.

Namun hubungannya bersama JDT tidak terhenti begitu sahaja apabila Aidil Zafuan dipilih menyertai barisan kejurulatihan Harimau Selatan bagi saingan musim depan bersama pengendali baharu kelab, Hector Bidoglio.

Aidil merupakan legenda kelab yang menyaksikan proses pembangunan JDT dengan bek tengah tersebut sudah bersama pasukan itu sejak 2013 dan menjadi satu-satunya pemain memenangi 10 gelaran Liga Super berturut-turut bersama pasukan berkenaan.

Apabila bercakap mengenai Aidil Zafuan, pasti ramai ternanti-nanti siapa gerangan yang bakal mewarisi jersi ikonik nombor 7 pada saingan musim 2023/24 selepas selama ini ia hanya disarung oleh bekas ketua pasukan JDT itu.

Jersi nombor 7 JDT itu turut dianggap 'keramat' kerana reputasi Aidil Zafuan selaku kapten yang banyak mencurahkan kejayaan buat skuad Harimau Selatan sejak menyertai JDT pada musim 2013.

Meninjau di ruangan media sosial, terdapat beberapa nama pemain Harimau Selatan yang dirasakan sesuai untuk menggalas tanggungjawab menyarung jersi nombor 7 berkenaan pada saingan musim depan.

BACA LAGI: Saya tidak tahu sama ada akan dapat tempat musim depan — Aidil Zafuan

1) Arif Aiman Hanapi

arif aiman

Arif Aiman antara pemain meningkat naik Harimau Selatan. — Facebook/ JDT

Meskipun Arif Aiman Hanapi masih muda, namun penyerang sayap itu boleh dianggap sebagai pemain berpengaruh Harimau Selatan pada masa kini dengan dia sering menjadi pilihan kesebelasan utama jurulatih baik saingan domestik mahupun kejohanan antarabangsa.

Arif Aiman yang kini menyarung jersi nombor 42 dianggap pengganti sesuai untuk menyambung legasi Aidil Zafuan berikutan dia juga dianggap bermula daripada bawah bersama Harimau Selatan dengan bermain bersama Akademi JDT sebelum dinaikkan pangkat ke skuad senior pada musim 2020.

Spekulasi penyerang sayap 23 tahun itu akan menyarung jersi 7 mula dibicarakan ketika momen Arif Aiman memeluk Aidil Zafuan dalam perlawanan terakhir Liga Super JDT, yang mana ramai menafsir ia sebagai simbolik penghargaan kepada legenda Harimau Selatan berkenaan.

Selain itu, sumbangan Arif Aiman dalam tiga tahun itu dengan mencetak 32 jaringan dan keputusannya untuk menyambung kontrak bersama JDT juga boleh dianggap faktor pemain itu akan diberikan nombor keramat tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Selain disambut baik penyokong JDT, bintang Man United tumpang 'like' kehadiran Jalil Elias

2) Jalil Elias

Ketibaan Elias di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JDT

Tiba dengan reputasi cukup baik selepas menempa namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Argentina, Jalil Elias juga dianggap sebagai calon berpotensi untuk menyarung jersi nombor 7 Harimau Selatan.

Pemain yang memiliki nilai pasaran mencecah tiga juta euro (RM15.2 juta) itu memulakan kariernya dengan menyarung jersi Newell’s Old Boy sebelum diserap masuk ke pasukan utama beberapa tahun kemudian dan dipinjamkan ke Godoy Cruz hingga akhirya menyertai kelab itu secara tetap.

Tonggak baharu JDT itu meninggalkan San Lorenzo dengan rekod yang baik, statistik Elias dalam kesemua kejohanan cukup memberangsangkan apabila dia sudah merekodkan 43 penampilan dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan dicatatkan dalam tempoh tiga tahun.

Perancang tengah berpengalaman seperti Elias dipercayai memberi keseimbangan jentera tengah Harimau Selatan di saingan domestik dan cabaran getir kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 itu sambil menyarung jersi bernombor tujuh juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

3) Fernando Forestieri

4

Prestasi 2023 Forestieri mula jatuh selepas Forestieri mengalami kecederaan pada Julai lalu. — Facebook/JDT

Fernando Forestieri hadir ke kem Harimau Selatan sebagai tonggak termahal Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 dengan sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Serie A, Udinese dan Sheffield Wednesday di Liga Kejuaraan Inggeris.

Prestasi hebatnya disambung bersama Harimau Selatan apabila menambah sengat bahagian serangan JDT dengan mencetak 21 jaringan gol dan 12 hantaran bantuan dalam 25 perlawanan domestik Forestieri diturunkan.

Musim 2023 disambung dengan prestasi cemerlang namun segalanya terhenti apabila pemain import Argentina itu mengalami kecederaan pada Julai lepas berpunca daripada terjahan daripada pemain Kuala Lumpur City, Akram Mahinan.

Sekiranya nombor keramat itu diberikan kepada Forestieri, ia berkemungkinan boleh menjadi titik kebangkitan pemain berusia 33 tahun tersebut untuk terus bermotivasi mencetak jaringan gol buat skuad Harimau Selatan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram