Saya tidak tahu sama ada akan dapat tempat musim depan — Aidil Zafuan


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Momen ketika Arif Aiman (kanan) memeluk Aidil Zafuan.  — Facebook/Pencinta Bola Sepak Malaysia

BEK tengah berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Razak adalah pemain yang disegani di Johor Darul Takzim (JDT) tetapi mungkinkah 2023 menjadi tahun terakhirnya bersama skuad Harimau Selatan?

Aidil Zafuan yang berusia 36 tahun sudah memenangi 26 kejuaraan dan merupakan satu-satunya pemain yang menjulang 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu kelihatan beremosi apabila pemain sayap, Arif Aiman ​​Hanapi pergi ke arahnya untuk meraikan gol pertamanya ketika JDT menewaskan Penang FC 8-0 dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

“Sudah tentu saya berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi kejuaraan sekali lagi, saya bertuah dan bangga dapat bersama JDT bagi setiap langkah selama ini.

“Itu membuatkan saya sedikit emosi kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain memenangi 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut.

“Saya juga terkejut apabila Arif datang memeluk saya selepas dia menjaringkan gol pertama tetapi saya fikir ia adalah satu penghormatan darinya.

"Saya harap Arif boleh memecahkan rekod saya menjadi juara 10 tahun kerana dia masih muda dan perjalanan masih jauh lagi,” katanya.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 11.55.30

Aidil Zafuan satu-satunya pemain yang menikmati 10 kejuaraan Liga Super. — Facebook/JDT

Musim ini, Aidil Zafuan tidak mempunyai banyak minit dan hanya bermain satu perlawanan Liga Super namun tetapi pemain dengan sapaan ‘Abang’ itu mempunyai pengaruh yang kuat dalam kelab berkenaan.

Kehadirannya di bilik persalinan membantu menstabilkan pasukan dan juga memberi inspirasi kepada pemain muda untuk bermain dengan baik.

Aidil Zafuan bagaimanapun masih tidak pasti dengan masa depannya sama ada akan menyarung jersi baharu, bermain bersama JDT ataupun bersara dari dunia bola sepak.

“Saya masih tidak tahu sama ada saya akan mendapat tempat saya untuk musim depan. Saya akan berjumpa dahulu dengan pihak pengurusan untuk berbincang dan menunggu keputusan daripada JDT.

“Saya selesa dengan pemain muda di JDT. Kita boleh berkongsi ketawa dan juga masalah. Saya cuba memberi nasihat kepada mereka untuk kemajuan kerjaya mereka,” tambah Aidil.

Walaupun dia tidak bermain untuk pasukan musim depan, dia boleh menjadi aset yang hebat sebagai jurulatih atau penasihat untuk pasukan pada masa hadapan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram