[VIDEO] Main macam 'prime Barcelona', jaringan pasukan sekolah tinggi Jepun curi tumpuan dunia


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Kejohanan Bola Sepak Sekolah Tinggi Kebangsaan Jepun sudah diadakan lebih dari satu abad. — JFA

BOLA sepak merupakan sebuah sukan yang dimainkan di seluruh bahagian dunia termasuklah benua Asia.

Di Jepun misalnya, walaupun terdapat sukan yang lebih popular seperti bola lisut dan bola keranjang, bola sepak sentiasa menjadi sebahagian daripada kegilaan rakyat negara tersebut.

Kegilaan itu tidak terhenti kepada sokongan semata-mata. Sebaliknya, ia turut dizahirkan kepada bentuk sokongan terhadap pembangunan akar umbi sehingga peringkat sekolah.

Pihak FA Jepun memastikan pembangunan bola sepak di negara itu terus cemerlang dan mereka teguh dalam melaksanakan program akar umbi sukan tersebut. Malah, ia turut dibantu dengan sokongan pelbagai pemegang taruh seperti pihak sekolah, ibu bapa dan juga para penaja.

Hasilnya, terjadilah sebuah generasi yang sudah mempunyai 'baka' bola sepak berkualiti dan permainan matang ditonjolkan walaupun baru berusia belasan tahun.

BACA LAGI: Antony masih tak 'perform', Man United dikhabar sambar Arif Aiman Jepun

Perkara itu ditonjolkan sendiri oleh pasukan-pasukan peringkat sekolah di Jepun dalam Kejohanan Bola Sepak Sekolah Tinggi Kebangsaan Jepun ke-102.

Pelbagai pasukan sekolah tinggi daripada serata Jepun bertanding dalam menampilkan persembahan bola sepak bermutu tinggi sebagai salah satu usaha menghasilkan bintang masa depan negara tersebut.

Malah, ilmu bola sepak mereka sudah jauh ke depan apabila pada peringkat sekolah tinggi, ada pasukan yang boleh bermain seperti Barcelona ketika era kegemilangan tiki-taka seperti dalam video tular di X (Twitter).

Gerakan tersusun dari bahagian bawah menuju kotak penalti lawan sambil diakhiri dengan penyudah mudah di depan pintu gol seolah-olah sudah menjadi 'baka' kepada corak permainan mereka.

Perkara ini tidak mustahil akan dipanjangkan terus kepada skuad kebangsaan Jepun dan mungkin kerana itulah, Samurai Biru kini merupakan antara jaguh handalan dunia dan calon kuat menjuarai Piala Asia 2023.

Kejohanan Bola Sepak Sekolah Tinggi Kebangsaan Jepun merupakan antara pertandingan paling diberikan perhatian oleh seluruh sekolah tinggi di Jepun kerana prestijnya begitu tinggi.

Mungkin, kejohanan Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) boleh belajar sesuatu daripada pertandingan ini untuk menguatkan lagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram