Buat dua kesilapan besar, ETH enggan salahkan Onana punca Man United tak menang


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Onana melepaskan dua gol mudah ketika bertemu Galatasaray. — Agensi

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag menafikan untuk menyalahkan penjaga golnya iaitu Andre Onana sebagai punca pasukannya gagal meraih tiga mata dalam aksi UEFA Champions League (UCL).

United melepaskan peluang untuk mendapatkan tiga mata bertemu Galatasaray di Turkiye selepas berjaya mendahului dengan dua gol hasil jaringan Alejandro Garnacho serta Bruno Fernandes.

Hakim Ziyech mengurangkan defisit untuk Galatasaray sebelum Scott McTominay menghidupkan semula pendahuluan dua gol United di separuh masa kedua.

Namun begitu, Ziyech kembali menambah jaringan sebelum Kerem Akturkoglu menghasilkan gol penyamaan untuk menafikan kemenangan United.

Keputusan seri itu turut menyaksikan Onana melakukan dua kesalahan penting dalam perlawanan hinggakan United terpaksa gigit jari tidak berjaya memperoleh kemenangan.

Ten Hag kemudiannya tidak mahu meletakkan Onana sebagai punca kekalahan, sebaliknya itu adalah permainan berpasukan dan ia harus ditanggung bersama-sama.

"Ia bukan berkaitan individu. Dalam bola sepak, kesilapan individu boleh menghasilkan perbezaan dan anda boleh bertanggungjawab terhadapnya, tetapi ia sentiasa mengenai permainan berpasukan.

"Ia sentiasa mengenai insiden dan ketelitian yang kami perlu buat dengan lebih baik. Kami perlu belajar daripadanya kerana sebagai pasukan, kami memboloskan terlalu banyak gol dan itu tidak perlu dan boleh dielakkan.

"Saya pasti pasukan kami cukup berpengalaman dan cukup mampu untuk menguruskannya serta melakukannya dengan lebih baik," ujar Ten Hag.

Dalam masa yang sama, Ten Hag mengakui kecemerlangan Ziyech membuatkan United tidak mampu menyekat kemaraan Galatasaray.

Kehebatan Ziyech dalam sepakan percuma telah membuatkan Galatasaray berjaya mencipta kebangkitan terhadap United.

"Kami menjaringkan dua gol pantas. Ia merupakan detik yang mana apabila telah mendahului dua gol, anda mesti uruskan perlawanan (dengan baik). Ia bukan mudah apabila kami memberikan sepakan percuma dan kami perlu bertahan daripadanya dengan lebih baik.

"Hakim Ziyech merupakan pemain yang hebat, saya tahu itu. Dia seorang yang luar biasa," ujar Ten Hag.

United masih boleh layak ke pusingan seterusnya kerana jarak mereka dengan pasukan tangga kedua iaitu FC Copenhagen hanyalah satu mata.

Namun begitu, tugas sukar pasti menanti kerana United akan berdepan juara kumpulan A iaitu Bayern Munich. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram