[VIDEO] Ferdinand 'koyak' lepas tengok aksi tak konsisten Man United


  • Podium
  • Isnin, 01 Jan 2024

Jenas (kiri) dan Ferdinand (tengah) bertugas untuk siaran EPL oleh saluran TNT Sports. — Agensi

MANCHESTER United terus menerus menunjukkan kegoyahan mereka dalam beraksi apabila sekali lagi tewas dalam saingan English Premier League (EPL).

Baru-baru ini, skuad kendalian Erik ten Hag tewas lagi apabila tumbang 2-1 kepada Nottingham Forest. Kekalahan tersebut menjadikan United sudah tewas sembilan kali dalam saingan liga.

Situasi buruk itu nyata tidak disenangi oleh penganalisis pro-United seperti Rio Ferdinand. Baru-baru ini, bekas pemain The Red Devils itu telah berdebat hebat dengan rakan penganalisis Jermaine Jenas.

Dalam siaran langsung yang disiarkan di saluran TNT Sports, Ferdinand dan Jenas berdebat hebat mengenai peluang United untuk akhirnya dapat menamatkan saingan liga di kedudukan empat terbaik seperti rakaman yang tular di Facebook.

Ketika itu, Jenas dan Ferdinand diminta untuk memberikan ramalan empat pasukan yang menduduki kedudukan teratas. Jenas memilih Manchester City, Arsenal, Liverpool dan Aston Villa.

Sementara Ferdinand pula memilih United akan dapat menduduki kedudukan empat teratas hinggakan Jenas mempersoal keputusan dilakukan bekas pertahanan England itu.

Pada Jenas, Ferdinand dianggap pilih kasih kerana terlalu memenangkan bekas kelabnya. Ia disebabkan Ferdinand mengatakan United akan tiada masalah untuk masuk ke kelompok empat teratas sedangkan prestasi semasa memberi gambaran The Red Devils akan bersusah payah mendapatkan sasaran itu.

"Adakah anda percaya dengan (ramalan) ini? Adakah anda benar-benar percaya dengan apa yang anda katakan?," soal Jenas.

"Benar. Kenapa anda persoalkan saya pula?," balas Ferdinand.

"Sebab saya masih ingat anda pernah 'koyak' ketika di Fulham. (Ramalan) saya adalah benar dan saya rasa saya tak ada unsur pilih kasih dalam ramalan saya,"

"Tapi saya rasa ramalan mengenai United adalah gila. Saya tengok anda 'koyak' banyak kali tahun ini mengenai United tetapi masih rasa mereka boleh dapatkan kedudukan empat terbaik?," ujar Jenas.

Jenas sememangnya terkejut dengan ramalan yang dilakukan oleh Ferdinand itu. Malah, dia lagi terperanjat apabila bekas pertahanan England itu mengatakan United boleh menamatkan saingan liga di tempat ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram