[VIDEO] KBS sedia skrin tayangan besar aksi Harimau Malaya di Qatar


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Skuad kendalian Pan-gon akan meraih keputusan positif menjelang perlawanan Piala Asia nanti kerana memiliki barisan pemain yang berkualiti. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya terus mendapat tonik terbaik menjelang kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari ini, apabila menerima suntikan semangat daripada Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh.

Hannah menyifatkan kejayaan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia itu merupakan satu prestasi yang membanggakan rakyat Malaysia.

Hannah turut menitipkan kata-kata semangat dengan memetik bait-bait lagu Fikirkan Boleh dipopularkan kumpulan Amuk yang merupakan antara lagu patriotik bagi menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya di Qatar sekarang, penantian melebihi 40 tahun ini merupakan satu prestasi yang amat membanggakan semua rakyat Malaysia, ingat apabila masuk padang nanti jika anda fikirkan anda boleh, anda pasti boleh melakukan terbaik.

"Saya mengucapkan tahniah juga kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jurulatih Kim Pan-gon atas usaha anda membantu pasukan Harimau Malaya melangkah sejauh ini,” katanya menerusi klip video kepada media pada Jumaat.

Sebagai usaha menyemarakkan lagi sokongan kepada skuad kebangsaan, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan tayangan skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur untuk ketiga-tiga perlawanan Malaysia dalam aksi peringkat Kumpulan E.

"Kita akan buka Stadium Nasional kepada semua penyokong Harimau Malaya, pastikan anda datang untuk menyokong pasukan Harimau Malaya,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Dollah Salleh pernah jadi hero Harimau Malaya tewaskan Korea Selatan aksi kelayakan Piala Dunia

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram