PASUKAN kebangsaan perlu memastikan enjin di bahagian tengah mereka berjalan dengan lancar dan cekap dalam Pusingan Akhir Piala Asia di Doha, Qatar, bermula 12 Januari hingga 10 Februari.
Harimau Malaya berjaya mara ke kejohanan Asia secara merit selepas 42 tahun dengan harapan tinggi untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
Malaysia, yang menduduki ranking ke-130 dunia, akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan di Stadium Al Janoub, pada 15 Januari nanti.
Selepas aksi persahabatan itu, skuad kebangsaan akan menentang Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad pada 20 Januari dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Stuart yakin enjin tengah pasukan mampu memberikan keputusan positif dalam aksi Piala Asia nanti. — Facebook/FAM
Pemain tengah Stuart Wilkin berkata, enjin tengah pasukan mesti bekerja dengan baik menjelang kempen kumpulan E.
BACA LAGI: Bayangan line-up Harimau Malaya di Qatar sudah dicanang-canang
“Saya fikir ini adalah aspek penting bagi kami kerana kami perlu mengatur pergerakan, sama ada menyerang serta mengekang lawan.
“Tetapi saya yakin pemain tengah yang beraksi untuk Piala Asia kali ini mempunyai keupayaan untuk membantu pasukan mencipta keputusan positif.
“Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon telah mengumpulkan pasukan yang berpengalaman dan berbakat untuk kejohanan ini.
“Saya fikir kami mempunyai keupayaan untuk beraksi dengan baik. Kita harus menyokong satu sama lain untuk memberikan persembahan yang terbaik," kata perancang berusia 25 tahun itu, yang beraksi untuk Sabah FC dalam Liga Super musim lalu.
Selain Stuart, pemain tengah utama Malaysia termasuk Afiq Fazail, Natxo Insa, Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Brendan Gan.
Tambah pemain tengah Sabah FC itu, Pan-gon sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu menghormati pihak lawan walaupun ketika menentang pasukan hebat seperti Korea Selatan yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002.
“Sudah tentu ia akan menjadi cabaran terbesar buat pasukan tetapi saya rasa kami sangat teruja untuk mencabar diri sendiri menentang Korea Selatan.
“Jurulatih selalu mengatakan bahawa kita perlu menghormati lawan tetapi kita tidak boleh terlalu menghormati mereka. Jadi kita kena lawan dan jangan beri mereka terlalu banyak ruang,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram