BAGI mana-mana pemain bola sepak, mereka pasti mempunyai figura yang dijadikan sebagai idola. Idola ini dijadikan sebagai inspirasi untuk mereka berusaha supaya menjadi sebagus pemain tersebut atau lebih hebat lagi.
Lazimnya, pemain-pemain bola sepak akan meminati bintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau Kylian Mbappe. Tetapi, ada juga yang gilakan pemain-pemain tempatan atau mereka yang beraksi dalam saingan Liga Super.
Itu adalah satu petanda baik, menandakan bola sepak kita diterima baik oleh rakyat tempatan tidak kira yang dewasa dan juga kanak-kanak.
Di Johor, tidak hairan jika pemain-pemain remaja di sana mengidolakan bintang-bintang dari skuad Johor Darul Takzim (JDT).
Barisan himpunan bintang mereka mendominasi bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan pastinya muncul kelompok yang meminati salah seorang daripada pemain Harimau Selatan. Sebagai contoh, penyerang berbisa mereka iaitu Bergson da Silva.
Bergson dikenali sebagai penyerang yang tajam di depan pintu gol serta mempunya identiti tersendiri sebagai pemain bola sepak.
Penyerang dari Brazil itu turut dikenali dengan cara meraikan golnya iaitu Bergshow. Corak meraikan gol itu adalah unik dan sering digunakan oleh pemain tersebut setiap kali menggegar gawang lawan.
Dan pengaruh Bergshow itu kelihatan semakin kuat dalam kalangan penyokong terutamanya melibatkan para pemain muda JDT. Oleh kerana reputasinya sebagai penyerang ampuh telah membuatkan dia menjadi idola pemain-pemain muda.
Baru-baru ini, seorang pemain akademi JDT telah melakukan keraian yang sama dengan idolanya iaitu Bergson ketika perlawanan Piala Remaja KPM-FAM bawah 17 tahun (B-17) menentang Perlis.
JDT yang diwakili oleh SMK Taman Desa, Skudai berjaya menewaskan SMK Syed Hassan, Perlis 1-0 dalam perlawanan akhir.
Gol tunggal JDT dihasilkan oleh Abid Safaraz cukup untuk memberikan kejuaraan kepada mereka dengan pemain itu meraikan jaringan dengan gaya Bergshow di depan jurulatihnya seperti dalam video di Twitter (X).
Kejayaan yang diraih oleh JDT dalam Piala KPM-FAM menambah satu lagi detik manis buat Harimau Selatan pada tahun ini selepas memperoleh pelbagai kejuaraan tidak kira peringkat.
Pasukan senior mungkin dalam perjalanan untuk meraih treble tetapi pasukan remaja turut menunjukkan taringnya supaya boleh menyambung legasi pada masa depan.
Benar sekali, pemain tersebut begitu meminati Bergson dengan jika usaha dan kerja keras diberikan sebaiknya, Abid boleh menjadi sebaik penyerang itu suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram