SAINGAN Piala Asia 2023 akan bermula tidak lama lagi dengan Harimau Malaya bakal berdepan tiga cabaran getir bertemu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Tiga perlawanan penting tersebut bakal menjadi penentu kemaraan Harimau Malaya untuk memasuki pusingan kalah mati.
Dalam tiga perlawanan yang bakal diharungi, dua stadium bakal menjadi saksi aksi Harimau Malaya iaitu Stadium Al Janoub serta Stadium Jassim bin Hamad.
Analisis ringkas Majoriti kali ini akan membawa pembaca mengenali lebih dekat dua gelanggang yang akan menyaksikan aksi oleh para pemain Harimau Malaya:
Stadium Al Janoub bakal menganjurkan dua perlawanan Harimau Malaya. — Zaha Hadid Architects
1. Stadium Al Janoub
Stadium Al Janoub bakal menjadi saksi dua perlawanan melibatkan Harimau Malaya iaitu ketika bertemu Jordan dan Korea Selatan.
Stadium berkapasiti 44,325 tempat duduk itu sebelum ini merupakan salah sebuah daripada gelanggang digunakan pada Piala Dunia 2022.
Bersifat moden, Stadium Al Janoub mengambil inspirasi bot Dhow yang digunakan oleh pencari mutiara di Qatar sebagai corak binaan bumbung mereka.
Gelanggang tersebut menjadi saksi kepada beberapa aksi hebat di Piala Dunia seperti kemenangan 4-1 Perancis terhadap Australia.
Baca lagi: Endrick dos Santos sanggup terlepas kelahiran cahaya mata demi komitmen bersama Harimau Malaya
Selain itu, ia turut menyaksikan tumbangnya Jepun kepada Croatia dalam penentuan sepakan penalti dalam pusingan 16 pasukan terbaik kejohanan yang sama.
Untuk Piala Asia pula, selain aksi Malaysia bertemu Jordan dan Korea Selatan, gelanggang tersebut akan digunakan dalam perlawanan Palestin menentang Emeriah Arab Bersatu, Australia berdepan Uzbekistan serta satu pertemuan pusingan 16 pasukan terbaik dan suku akhir.
Stadium Jassim bin Hamad antara sembilan gelanggang digunakan di Piala Asia 2023. — Agensi
2. Stadium Jassim bin Hamad
Di saat Stadium Al Janoub memperaga corak moden, Stadium Jassim bin Hamad pula adalah salah sebuah gelanggang klasik dimiliki Qatar.
Dibuka pada 1975, stadium tersebut pernah melalui dua kali penambahbaikan iaitu pada 2004 dan 2010.
Stadium tersebut merupakan stadium pelbagai guna dengan fasiliti seperti bola keranjang, bola tampar, bola baling serta kolam renang turut tersedia di gelanggang tersebut.
Stadium Jassim bin Hamad antara yang terkecil digunakan untuk Piala Asia 2023. — Agensi
Stadium Jassim bin Hamad merupakan stadium kedua terendah dari segi kapasiti dalam semua gelanggang Piala Asia 2023 dengan ia cuma mampu memuatkan 15,000 penonton pada satu-satu masa.
Boleh dikatakan, kapasiti stadium tersebut adalah hampir sama dengan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang menjadi gelanggang Kuala Lumpur City FC.
Ia digunakan ketika Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA 2019 namun disisihkan sewaktu Piala Dunia 2022.
Untuk Piala Asia 2023, Stadium Jassim bin Hamad akan mengendalikan perlawanan antara Uzbekistan menentang Syria, Korea Selatan bertemu Bahrain, Syria berdepan Australia, Tajikistan melawan Lubnan, aksi antara Iraq dengan Vietnam serta satu pertemuan pusingan 16 pasukan terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram