Safawi Rasid ikut stail Neymar, tukar 'senjata' baharu bawa cabaran Malaysia ke Piala Asia


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Pemain-pemain Harimau Malaya kini sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

SELEPAS sekian lama menyarung but produk sukan terkenal Nike, penyerang Harimau Malaya, Safawi Rasid mengambil pendekatan baharu apabila mengikuti jejak langkah bintang Brazil, Neymar da Silva dengan menyarung kasut jenama Puma menjelang perlawanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada 16 Januari nanti.

Safawi kelihatan memakai but Puma itu semasa menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Qatar University, Doha, Qatar bagi persiapan Piala Asia yang berlangsung minggu depan.

BACA LAGI: [VIDEO] Zaquan Adha dedah punca kenapa Aidil Zafuan beraksi lain posisi

Sama seperti Neymar yang sebelum ini menggunakan but Nike telah beralih arah kepada Puma selepas menandatangani kontrak tajaan bersama syarikat itu pada 2020.

Diharapkan perubahan 'senjata' baharu Safawi itu dapat memperbaiki semula prestasinya bersama Harimau Malaya selepas sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat sangat merosot.

Ia ditambah pula dengan kekurangan minit permainan pada musim lalu di peringkat kelab bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Ratchaburi FC (Thailand) apabila dia hanya beraksi sebanyak 19 perlawanan bagi kedua-dua pasukan itu.

FAISAL & SAFAWI

Faisal (kiri) dan Safawi (kanan) giat menjalani latihan bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Seorang lagi bintang Harimau Malaya, Muhd Faisal Abd Halim turut mendapat 'semangat' baharu bersama Harimau Malaya apabila dia menerima but baharu daripada Indonesia, Ortuseight.

Faisal atau mesra disapa Mickey itu sudah pun menggunakan but Ortuseight Legion itu dalam sesi latihan bersama Harimau Malaya bagi keselesaannya menjelang perlawanan sebenar nanti.

BACA LAGI: Faisal Halim ada 'semangat' baharu bersama Harimau Malaya

Dengan penggunaan but Ortuseight musim ini, Mickey berjaya menjaringkan 12 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 23 perlawanan Liga Super bersama Selangor.

Manakala bersama skuad kebangsaan, Mickey beraksi dalam kesemua perlawanan antarabangsa dan menjaringkan enam gol dan empat 'assist' untuk tahun ini.

Adakah 'senjata' baharu Faisal dan Safawi akan membantu mereka bersinar di pentas Asia bersama Harimau Malaya? Mari kita saksikan dan beri sokongan penuh beramai-ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram