PERSIAPAN Indonesia menjelang saingan Piala Asia bulan ini menerima tamparan hebat apabila skuad Garuda itu dibelasah 0-4 oleh Libya dalam satu aksi persahabatan di Antalya, Turkiye pada Selasa.
Indonesia pada mulanya hanya dibolosi satu gol dalam babak pertama menerusi gerakan Ahmed Ekrawa pada minit ke-25.
Bagaimanapun, tindakan ketua jurulatih, Shin Tae-yong, untuk menukar 10 pemain daripada kesebelasan utamanya menjelang babak kedua mengundang padah apabila mereka dibolosi tiga lagi gol.
Omar Al Khoja menggandakan kelebihan Libya pada minit ke-58 sebelum Nour Al Din dan Alaa Al Qajdar turut menemui sasaran, masing-masing pada minit ke-89 dan 92.
Sebagai rekod, skuad Garuda itu berada dalam Kumpulan D saingan Piala Asia bersama Jepun, Iraq dan Vietnam.
Hubner beraksi bersama skuad muda Wolverhampton Wanderers di Liga Perdana Inggeris 2. — Agensi
Dalam perlawanan itu, pemain pertahanan Wolverhampton Wanderers, Justin Quincy Hubner telah melakukan debut yang mengerikan bersama Indonesia selepas kesilapan mudah pada minit ke-89 apabila menghantar bola ke pihak lawan dalam kotak penalti.
Manakala Jordi yang juga kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pula melakukan dua kesilapan yang menyebabkan gawang gol dibolosi pada minit ke-58 dan 92 pemainan sekali gus menjadikannya keputusan 0-4.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Arsenal menghilang tanpa dikesan, Tony Cottee hanya tambah duka Gergasi Merah
Tamat perlawanan, Hubner mengakui kesilapan yang dilakukan dan pada masa sama, dia berharap dapat bangkit semula untuk aksi kedua menentang Libya nanti.
"Minta maaf untuk gol tadi, kami akan bangkit dan lakukan yang terbaik daripada apa yang ditunjukkan hari ini (Selasa).
"Kami perlukan peningkatan, semuanya, bertahan (dan) menyerang. Kami perlu tampil sebagai sebuah pasukan," katanya.
Untuk rekod, perlawanan menentang Libya merupakan aksi pertama Hubner sebagai pemain Indonesia selepas mendapat status kewargenegaraan pada 6 Disember lalu.
Indonesia bakal memulakan kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan D dengan menentang Iraq pada 15 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram