SELEPAS merekodkan pencapaian terburuk pada Sukan SEA Kemboja 2023, kerja keras secara senyap-senyap menyaksikan kontinjen negara bangkit memahat pencapaian yang boleh dibanggakan pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.
Kontinjen Malaysia yang dibarisi 288 atlet dan diketuai Datuk Chong Kim Fatt selaku ketua kontinjen berjaya mengharungi cabaran getir untuk meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa atau keseluruhan 32 pingat untuk mengatasi sasaran 27 pingat sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-14.
Kejohanan Sukan Asia Hangzhou 2022 memberikan gambaran bahawa pencapaian sukan negara tahun ini amat memberangsangkan.
Selain pencapaian di Sukan Asia Hangzhou 2022, Majoriti senaraikan lima momen hebat dalam arena sukan negara pada tahun ini sebelum menuju ke 2024:
JDT menjuarai Liga Super buat kali ke-10.
1. Johor Darul Takzim (JDT) juara Liga Super selama sedekad
JDT secara rasminya dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2023 untuk melengkapkan perjalanan sedekad gemilang pasukan.
Harimau Selatan mengharungi 26 perlawanan liga tanpa kalah selain merekodkan 100 jaringan sementara hanya dibolosi dengan tujuh gol sahaja.
Era gemilang Harimau Selatan telah pun berlangsung sejak 10 tahun lalu di bawah pimpinan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dengan kejayaan sulung bermula ketika menjulang trofi Liga Super Malaysia buat kali pertama pada 2014.
Kejuaraan ke-10 Liga Super ini menyaksikan JDT telah merekodkan 28 trofi buat kelab sekali gus membuka lembaran baharu buat bola sepak Johor.
Berdasarkan rekod, Harimau Selatan telah menjulang lapan Piala Sumbangsih, empat Piala FA, empat Piala Malaysia dan satu kejuaraan Piala AFC.
Momentum cemerlang itu juga meletakkan JDT pada landasan terbaik menamatkan kempen liga dengan rekod tanpa kalah seperti musim 2016, 2020 dan 2022.
Azizulhasni berjaya merampas semula pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada ACC.
2. Datuk Azizulhasni Awang juara pecut Asia
Datuk Azizulhasni Awang berjaya merampas semula pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada 16 Jun 2023.
Selepas kali terakhir meraih emas acara tersebut pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Azizulhasni kembali menjejakkan kaki di podium ‘sang juara’ selepas mengetepikan pelumba Jepun, Kaiya Ota 2-0 di pentas final.
Lebih manis, catatan yang dilakukan Azizulhasni itu berjaya mengatasi rekod kebangsaan 9.548s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman.
Malah, catatan itu juga menghampiri rekod Asia yang dipegang pelumba sensasi Jepun, Yuta Wakimoto iaitu 9.518s yang diciptanya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dengan kejayaan dalam acara pecut individu itu, Azizulhasni telah merekodkan 11 pingat emas di pentas ACC, sekali gus mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan berprestij Asia tersebut.
Johan Ghazali berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai lebih RM400,000.
3. Johan Ghazali 'Jojo' terima tawaran One Championship
Peninju Muay Thai negara, Johan Ghazali berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai lebih RM400,000.
Atlet berusia 17 tahun itu berjaya meraih kontrak berkenaan selepas menundukkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam ONE Friday Fights 36, pada Oktober lalu.
Johan Ghazali atau Jojo Ghazali memenangi perlawanan tersebut secara 'knock out' pada pusingan kedua.
Dengan kejayaan itu, Jojo menjadi atlet peninju termuda yang berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship.
Baru-baru ini, Jojo sekali lagi mencuri tumpuan apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawannya dari Mexico, Edgar Tabares.
Jojo menewaskan pesaingnya itu secara knockout (KO) dalam pertembungan kategori catchweight Muay Thai Primetime US, ONE Championship di Bangkok, Thailand awal bulan ini.
Kemenangan tersebut sekali gus menaikkan lagi nama atlet Muay Thai berusia 17 tahun berkenaan yang mula menempa nama dalam seni mempertahankan diri terbabit.
Shazrin Latif berjaya merangkul pingat emas pertama buat negara pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.
4. Nur Shazrin kilauan emas pertama Sukan Asia 2022
Nur Shazrin Mohamad Latif berjaya merangkul pingat emas pertama buat negara pada hari keempat temasya Sukan Asia Hangzhou 2022
Dalam acara ILCA 6 wanita, penantian yang penuh debaran, atlet berusia 25 tahun dari Pasir Gudang, Johor itu berjaya mengekalkan kedudukan pertama.
Ia selepas berjuang dengan keadaan ombak sukar di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, lebih 170 kilometer pada ketika itu.
Qabil mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia.
5. Qabil Irfan juarai MiniGP 2023 cipta kejutan di Valencia
Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol pada 23 November lalu.
Dengan kejayaan di Litar Kart Ricardo Tarmo, pelumba berusia 11 tahun itu menaiki podium buat kali ketiga berturut-turut bagi kategori 160cc selepas perlumbaan pertama dan perlumbaan kedua yang berlangsung pada hari sama.
Beliau menamatkan kedua-dua perlumbaan, masing-masing di kedudukan pertama untuk mengumpul 50 mata.
Qabil Irfan bermula daripada barisan pertama, berjaya meletakkan dirinya berada dalam kelompok lima terbaik sebelum menemui garisan penamat di tempat pertama untuk menambah 50 mata lagi.
Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu tiba di garisan penamat dengan catatan masa 14 minit dan 08.764 saat (s), meninggalkan pelumba Jepun Kotaro Togashi (14:10.057s) dan pelumba Sepanyol Enzo Zaragoza (14:10.289s). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram