[VIDEO] Bintang Arsenal menghilang tanpa dikesan, Tony Cottee hanya tambah duka Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Quinn (tengah) tiba-tiba menghilangkan diri sehingga memaksa FAS menyambar Cottee dengan harga lebih RM3 juta.

"BINTANG mencari bintang."

Itulah perumpamaan tepat untuk mengambarkan situasi yang berlaku kepada Selangor FC atau dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika mendapatkan khidmat legenda England, Tony Cottee, 28 tahun lalu.

Kenapa bintang mencari bintang? Ia kerana Cottee sebenarnya bukanlah pilihan utama skuad Gergasi Merah ketika itu jika tidak kerana pemain Arsenal, Nial Quinn menghilangkan diri sehingga memaksa FAS menyambar bekas penyerang West Ham itu berdasarkan reputasinya.

Cottee secara rasminya berpindah ke Selangor pada 1996 dan berita itu mendapat liputan luas dari media tempatan dan antarabangsa kerana bintang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal beraksi di Malaysia.

Berdasarkan info, pihak pengurusan Selangor telah membayar lebih RM3 juta (£750,000) kepada West Ham untuk menebus kontrak Cottee yang ketika itu cemerlang bersama The Hammers.

Sebelum berhijrah ke Selangor, Cottee menjaringkan lebih 100 gol dan berjaya memenangi PFA 'Young Player of The Year' bagi musim 1986.

Bekas penyerang Selangor itu juga memegang rekod perpindahan Inggeris ketika itu apabila berpindah ke Everton dengan yuran sebanyak lebih RM11 juta (£2.2 juta).

Tony Cottee

Cottee sempat beraksi bersama Selangor pada musim 1996 hingga 1997.

"Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari."

Jodoh Cottee bersama Selangor tidak berpanjangan apabila dikhabarkan dia tidak begitu gembira sepanjang beraksi bersama Selangor.

Pihak pengurusan turut kecewa dengan tindakan bekas tonggak England itu yang dilihat bersikap tidak profesional apabila 'tergesa-gesa' meninggalkan pasukan itu sebelum kontraknya tamat.

BACA LAGI: 'Status' anak emas Pan-gon tidak gugat fokus Khuzaimi Piee

Menurut laporan media, Cottee sangat kecewa dengan persekitaran yang berlaku dalam kem Selangor ketika itu apabila dia terpaksa membasuh but bolanya sendiri ia tidak sama seperti di England apabila ada pegawai ditugaskan untuk melakukan perkara itu.

Selain itu juga, Cottee turut berang apabila tidurnya terganggu dengan bunyi jam loceng rakan sepasukannya, Ismail Ibrahim yang bangun menunaikan sembahyang Subuh ketika itu sememangnya mengundang kemurkaan peminat fanatik Gergasi Merah.

Cottee akhirnya berpindah semula ke England pada 1997 untuk menyertai Leicester City dengan yuran perpindahan lebih RM2 juta (£550,000) kepada Selangor.

Walaupun tidak sampai setahun beraksi bersama Selangor, Cottee sempat membantu Gergasi Merah muncul juara Piala FA 1997 serta berjaya tampil dalam 31 perlawanan, dan menjaringkan 17 gol sebelum kembali semua ke England.

Selepas Cottee cabut ke England, Selangor kemudiannya mendapatkan khidmat seorang lagi bintang Arsenal, Chris Kiwomya secara pinjaman dan kali ini ia dilihat pelaburan berbaloi apabila penyerang itu berjaya meledak gol kemenangan Gergasi Merah ketika final Piala Malaysia 1997 apabila menewaskan Pahang 1-0 menerusi golden goal.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram