DRAMA demi drama, itulah yang boleh diungkapkan sebagai penutup cerita buat pasukan Kelantan FC yang dipenuhi dengan pelbagai isu dalam dan luar padang musim ini.
Prestasi hambar Kelantan musim ini didakwa berpunca daripada masalah tunggakan gaji yang membuatkan pemain-pemain The Red Warriors (TRW) memilih untuk keluar daripada pasukan semasa liga sedang berjalan.
Tidak tahan dengan isu yang sedang berlaku musim ini, penyokong-penyokong Kelantan turut mendesak agar pemilik Kelantan, Norizam Tukiman melepaskan pasukan itu kepada individu lain.
Namun Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terus mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang kenyataan berhubung situasi semasa yang berlaku di kem Kelantan sehingga hari ini.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Potong itu potong ini', bekas bintang TRW beri bayangan wujud krisis bersama Zamsaham
Menerusi perkongsian pemain tengah Kelantan, Syed Sobri Syed Mohd di Instagram, dia menuntut pembayaran tunggakan gajinya namun Zamsaham didakwa bertindak untuk mendiamkan diri lalu meninggalkan 'group' WhatsApp pasukan.
"Nak 'left' pun biar laa selesai sisa baki kaki bual itu...belum selesai apa-apa dah keluar.
"Orang nak pegang bola dia pun nak pegang bola, 'lakar-lakar' (kelakar) 'owner' ini seorang," luahnya di Instagram.
Tangkap layar Instastory Syed Sobri.
Pada Selasa, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa kegagalan pihak pengurusan Kelantan untuk menghantar dokumen sah kepada badan induk itu pada masa ditetapkan menyaksikan mereka tidak layak beraksi dalam Liga Super 2024/25.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan badan penganjur bola sepak negara itu, kelab Pantai Timur terbabit sudah menghantar dokumen menunjukkan mereka sudah berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Namun, semakan terhadapnya mendapati beberapa pemain serta staf pasukan masih belum menerima bayaran, sekali gus membuktikan masalah berkenaan masih belum diselesaikan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan MFL itu, Kelantan masih diberikan peluang memperolehi lesen kebangsaan sehingga 8 Januari sekiranya mereka dapat menghantar dokumen diperlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram