KAPTEN Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Radzak, tidak menafikan impian sebelum bersara daripada bola sepak profesional adalah bergandingan dengan pasangan kembarnya, Aidil Zafuan.
“Ya! Memang menjadi impian sayalah tapi hala tuju Aidil dan hala tuju saya buat masa sekarang ini, mungkin dia ada hala tuju dia dan pilihan dia.
"Saya pun hala tuju dan pilihan saya agak berbeza tapi memang daripada mulanya bermain bola secara bersama.
Aidil dikhabarkan tidak akan bersama JDT untuk musim hadapan sekali gus membuka peluang buat kedua-dua pemain tersebut untuk kembali bergandingan.
Jika diimbau kembali perjalanan duo ini, mereka memulakan karier bersama Negeri Sembilan bermula 2005, diikuti Angkatan Tentera Malaysia dan JDT sebelum berpisah pada musim 2017 dengan Zaquan menyertai Perak, manakala Aidil kekal di JDT.
Dan jika ia menjadi kenyataan, Zaquan dan Aidil bakal mencipta satu sejarah unik yang mana mereka akan muncul sebagai pasangan kembar yang memulakan dan mengakhiri karier bersama dengan pasukan yang sama.
Zaquan musim ini beraksi bersama Negeri Sembilan FC.
Tetapi adakah anda pernah terfikir kenapa dua beradik ini bermain di posisi yang berlainan?
Menjawab persoalan itu, Zaquan berkongsi jawapan tersebut dalam satu podcast yang diberi nama Geng Jatuh Bangun (GJB) yang mana hosnya adalah bekas penjaga gol kebangsaan, Zamir Selamat.
Zamir menanyakan soalan kepada Zaquan tentang kenapa mereka beraksi di posisi yang berlainan?
Zaquan berkata, ia bermula sejak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SNBJ) yang mana sebelum itu mereka merupakan pasangan untuk posisi penyerang.
"Dulu kami sebenarnya beraksi untuk Sukan Malaysia (Sukma) dengan bermain sebagai penyerang, kami dua orang memang daripada kecil sampai besar ialah 'striker'.
"Abang (Aidil Zafuan) pun 'striker', jadi terpisahnya posisi kami ini bila masuk Bukit Jalil (SNBJ).
"Masuk Bukit Jalil, yang pisahkan posisi kami ini adalah Coach Amin. Awalnya kami tak boleh terima.
"Pasal apa? Sebab sebelum itu kami main 'partner', saya dah main 'partner' dengan dia dan jadi dah 'good partner'.
"Apabila bermain di posisi penyerang, dulu punya 'position' akan main dua 'striker', tapi sekarang ada yang main seorang dan ada yang main tiga 'striker'," katanya dalam Geng Jatuh Bangun.
Namun selepas mendapat jawapan daripada Coach Amin, baru mereka terfikir kebaikan dipisahkan demi masa depan bola sepak selepas tamat pelajaran.
"Tapi apabila dah dapat jawapan, baru terfikir, kalau habis sekolah nanti, kau rasa ada tak satu pasukan itu tak akan ambil import?
"Pasukan itu mesti akan ambil import penyerang, kau nak abang kau duduk dekat 'reserve' ataupun kau duduk 'reserve'?
"Lepas dia cakap itu, ehh betul juga, jadi benda itu bila dia (coach) buat keputusan, kami faham kira betul juga sebab setiap perlawanan 'first eleven', kami ada sama-sama dan ada kesinambungan dekat situ.
"Abang dekat 'defend', saya dekat 'striker'.
"Itu jawapannya kenapa dipisahkan saya dengan abang, Coach Amin nak kami main sama-sama dalam 'first eleven'," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram