Perak FC boleh asah penjaga gol Ashby Rovers lepas tampil wira Piala Cheetah


  • Podium
  • Ahad, 31 Dis 2023

Asbhy Rovers (jersi kuning) merupakan juara Piala Cheetah 2023. — Facebook/Perak FC

PERAK FC musim ini mengharungi pelbagai detik jatuh bangun terutamanya dalam Liga Super. Pada satu ketika, mereka begitu dekat dengan zon bawahan namun berjaya bangkit untuk menamatkan saingan dengan lebih baik.

Terdapat detik manis untuk The Bos Gaurus apabila berjaya menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat separuh akhir sambil menewaskan Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC untuk mara sejauh itu.

The Bos Gaurus musim ini menggunakan ramai pemain-pemain muda dengan misi untuk membina skuad terbilang pada masa depan. Dan kini, usaha tersebut boleh dipanjangkan dengan adanya penganjuran Piala Cheetah.

Piala Cheetah diadakan di tiga zon seluruh negeri Perak dengan usaha untuk mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi diserapkan ke skuad Perak pada musim depan.

Untuk perlawanan akhir piala tersebut, ia menemukan dua pasukan iaitu Ashby Rovers menentang Ipoh Unity Recreation Club (IURC). Dalam aksi sengit antara kedua-dua pasukan, Ashby muncul pemenang apabila berjaya memenangi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas seri dalam masa sebenar permainan.

Kejuaraan yang diraih pasukan dari Ipoh itu turut menarik perhatian mata yang menyaksikan perlawanan tersebut yang disiarkan di Facebook apabila penjaga gol Ashby, Razin Rafiqeen beraksi cemerlang.

Persembahan baik daripada Razin itu telah membuatkan ramai terpegun dengan aksinya hinggakan ada yang mahu dia diberikan peluang beraksi untuk Perak oleh Yusri Che Lah.

Malah, ada yang menganggap persembahan Razin begitu baik dan lebih elok berbanding penjaga gol Perak sedia ada iaitu Farhan Majid.

"Terbaik penjaga gol Ashby Rovers," kata penyokong bernama Bakar Khalid.

"Mantap penjaga gol Ashby Rovers, boleh ganti Farhan Majid penjaga gol Perak," ujar Mohamad Riduan pula.

Dengan tumpuan yang diberikan kepada Razin oleh penyokong pastinya ia tidak terlepas daripada mereka yang bertanggungjawab dalam barisan kejurulatihan Perak.

Ashby Rovers membawa pulang wang kemenangan RM10,000 selepas muncul juara Piala Cheetah untuk musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram