Didakwa tak bela nasib Hazwan Bakri cedera ACL, fans JDT bidas kenyataan pemain ke-12 Selangor


  • Podium
  • Isnin, 01 Jan 2024

Tangkap layar Hazwan terpaksa berehat di tepi padang selepas ditimpa kecederaan.

BEKAS penyerang kebangsaan negara, Hazwan Bakri terpaksa melupakan keinginannya untuk menyarung jersi baharu pada separuh pertama saingan musim depan susulan kecederaan serius yang dialaminya.

Penyerang berusia 32 tahun berkenaan difahamkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memerlukan Hazwan untuk memberikan sepenuh perhatian kepada proses pemulihannya.

Situasi itu difahamkan dialaminya dalam aksi penutup Liga Super 2023 menentang Penang FC di laman sendiri apabila dia terpaksa berehat di tepi padang selepas hanya sempat beraksi selama tujuh minit.

Baca Lagi: [VIDEO] Hazwan Bakri alami kecederaan ACL, terpaksa lupakan separuh musim 2024

Kejadian menimpa pemain kelahiran Labuan itu membuatkan ramai penyokong bersimpati lagi-lagi yang teruja untuk melihat Hazwan kembali dengan prestasi berbeza dengan pasukan baharu pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Selepas tidak berada dalam perancangan Johor Darul Taksim (JDT), pasukan seperti Sri Pahang FC dan Perak FC difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk saingan akan datang.

Di sebalik kecederaan menimpa bekas tonggak Selangor itu, muncul dakwaan kurang enak daripada penyokong Gergasi Merah yang menuduh JDT tidak bertanggungjawab menjaga kebajikan pemain sebagai majikan.

WhatsApp Image 2024-01-01 at 16.59.37

Tangkap layar dakwaan penyokong Selangor.

“Masya-Allah. Sampai hati kelab J (JDT) tidak jaga kebajikan player. Kalau nak lepaskan pun biarlah sampai player itu sembuh dulu, aiyoooo macam ini ke kelab yang katanya maju sangat itu,” dakwa penyokong Selangor menggunakan akaun Facebook, Adil Khair.

Dakwaan yang dikeluarkan penyokong Gergasi Merah menimbulkan amarah penyokong Harimau Selatan dan menyifatkan ia adalah kenyataan yang dibuat tanpa sebarang usul periksa dan bertujuan untuk mengadu domba.

Baca Lagi: [VIDEO] Seperti kisah Hazwan Bakri, legenda Selangor cedera lepas 10 minit beraksi

Menerusi laman Facebook, Penyokong Sukan Johor -PSJ optimis bahawa juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu tidak akan bersikap lepas tangan terhadap pemainnya dan perkara berkenaan sudah dibuktikan dengan insiden sebelum ini.

“Pihak JDT pasti akan membantu untuk Hazwan Bakri pulih dahulu dari kecederaan. Seperti mana yang telah dilakukan pada ramai pemain JDT sebelum ini seperti Rozaimi Abd Rahman, Shahrul Saad dan Syamer Kutty.

“DYAM Tunku Mahkota Johor sebagai pemilik kelab sangat mengambil berat kebajikan pemain-pemain JDT dan perkara berkait. Tak akan mungkin Hazwan Bakri dilepaskan begitu tanpa dibantu dalam proses pemulihan beliau,” tulisnya.

Ia bukanlah sekadar cakap kosong daripada penyokong JDT kerana Rozaimi adalah contoh Harimau Selatan menjaga kebajikan pemain apabila kelab gergasi berkenaan membantu proses pemulihan kecederaan panjangnya sebaik terlibat kemalangan jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram