SEORANG warga emas dan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), rentung dalam kejadian kebakaran pondok yang berlaku di sebuah dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda dekat Gerik, Perak pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, laporan kejadian itu, diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik daripada pihak polis pukul 7.38 pagi Isnin.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati, kebakaran tersebut melibatkan sebuah pondok yang telah musnah terbakar 95 peratus. Api telah padam sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
"Terdapat dua mangsa perempuan, masing-masing berusia 76 tahun dan anaknya berusia 43 tahun yang merupakan OKU penglihatan, didapati rentung,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sayani berkata, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada polis pukul 9 pagi untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood mengesahkan, tiada unsur jenayah dalam kes kebakaran tersebut.
Zulkifli berkata, bagaimanapun, punca kebakaran masih belum diketahui.
“Siasatan yang dijalankan polis mendapati tiada apa-apa unsur jenayah. Punca kebakaran masih belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati, punca kematian dua beranak berkenaan adalah disebabkan oleh kecederaan akibat kebakaran (death of burn) dengan pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mayat tidak menjumpai apa-apa kecederaan lain mahupun sebarang unsur jenayah.
Zulkifli berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian terletak jauh daripada jalan utama dan merupakan laluan ‘offroad’ atau laluan jalan tanah merah untuk ke kawasan kebun dusun itu.
Tambahnya, pondok yang terbakar itu berukuran kira-kira 55.7 meter persegi diperbuat sepenuhnya daripada kayu.
"Saksi utama kejadian memaklumkan kebakaran disedari berlaku pukul 4 pagi di dapur pondok dan dia turut berusaha sedaya menyelamatkan isteri dan anaknya.
“Namun, saksi tidak berupaya melakukan demikian lantas segera meminta bantuan dari penduduk berhampiran. Setelah tiba bersama bantuan, pondok itu bagaimanapun sudah hangus terbakar.
“Saksi juga mengakui pondok itu dibinanya sendiri bagi tujuan menjaga kebun (dusun), dan pondok itu juga dilengkapi dengan lampu solar dan kelengkapan untuk memasak yang lengkap,” katanya.
Menurut Zulkifli, kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
