
BARU-BARU ini, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi gambaran bahawa lebih ramai lagi pemain dan kakitangan kelab berkenaan bakal meninggalkan Harimau Selatan.
Menurut Tunku Ismail, pasukan dengan gelaran juara 10 kali Liga Super berturut-turut itu akan bergelar ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan pada musim depan susulan mereka kini dalam proses pengurangan kos.
“Underdog tahun depan, Akan ada ramai lagi yang keluar dari kelab. Proses berjimat. Stadium jarang penuh, RM10 saja tiket terbuka," kata Tunku Ismail.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Tunku Ismail menerusi komen hantaran perpisahan dengan barisan kejurulatihan termasuk Esteban Solari serta beberapa pemain menerusi laman sosial pada Khamis.
Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo antara nama awal yang diumumkan tidak berada dalam perancangan pasukan pada musim depan.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga nama pemain skuad Harimau Selatan yang dijangka digugurkan selepas ini berdasarkan faktor umur, minit permainan dan sebagainya.
1) Nazmi Faiz Mansor
Pada musim 2022, Nazmi tampil sebanyak 23 kali daripada 27 perlawanan. — Facebook/JDT
Nama Nazmi Fazi Mansor baru-baru ini mencuri perhatian penyokong apabila memuat naik hantaran pelik dengan perkataan 'LOL' sebaik sahaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain yang akan mewakili negara ke Piala Asia 2022 Qatar pada Januari ini.
Penyokong mendakwa hantaran dari Nazmi Faiz itu seolah-olah menggambarkan ketidakpuashatiannya kerana tidak berada dalam senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
Rentetan isu berkenaan, Nazmi Faiz seperti memberi petunjuk mahu bangkit mengembalikan prestasinya yang dulu sehingga menjadi tonggak utama Harimau Malaya.
Oleh itu, ramai penyokong berharap agar pemain tengah itu berada dalam senarai pemain yang akan ditunjukkan jalan keluar agar Nazmi Faiz dapat bersama pasukan lain seperti Selangor untuk meraih minit permainan dan mengubah semula nasibnya.
Pemain berusia 29 tahun yang banyak memanaskan bangku simpanan JDT itu hanya merekodkan 10 penampilan bersama JDT dalam kesemua saingan domestik pada musim ini.
2) Natxo Insa
Musim ini, Natxo hanya diturunkan dalam tujuh aksi Liga Super. — Facebook/JDT
Tonggak tengah Harimau Selatan, Natxo Insa antara pemain dikhabarkan bakal mengikut jejak langkah bintang senior lain berikutan usianya yang kini mencecah 36 tahun itu.
Pemain kacukan Sepanyol-Malaysia itu sememangnya memainkan peranan penting sejak menyertai JDT pada 2017 dengan kemampuannya untuk membaca gerak-geri lawan di samping ketenangannya untuk melakukan hantaran.
Musim ini juga menyaksikan pemain kebangsaan itu semakin hilang tempat di JDT dengan secara keseluruhan, Natxo hanya tampil dalam sembilan perlawanan termasuk dua aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Meskipun kehilangan Natxo bakal dirasai namun tonggak muda, Hong Wan dilihat sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di bahagian tengah dengan bekas pemain skuad remaja kelab England, Wolverhampton Wanderers itu sering digandingkan bersama Afiq Fazail.
3) Takahiro Kunimoto
Kunimoto pernah menjaringkan dua gol ketika bertemu Kelantan FC. — Facebook/JDT
Takahiro Kunimoto sebelum ini hadir dengan reputasi tersendiri kerana pernah bermain bersama kelab Portugal Casa Pia di divisyen pertama dan pasukan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.
Pemain tengah menyerang yang tiba pada jendela perpindahan Julai lepas itu bagaimanapun menjadi bualan dalam kalangan penyokong selepas dia dikatakan beraksi 'hambar'.
Bersama Harimau Selatan, pemain dari Jepun itu tidak memenuhi jangkaan penyokong kerana hanya menjaringkan dua gol dan satu dua hantaran dalam enam penampilan termasuk dua aksi Piala Malaysia.
Prestasi kurang memberangsangkan itu akan mempengaruhi barisan kejurulatihan dan pengurusan untuk menggugurkan pemain berusia 26 tahun itu daripada skuad JDT 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram