SAINGAN Liga Super 2023 menghadiahkan musim yang cukup getir buat peminat bola sepak tanah air dengan beberapa kejutan disaksikan di dalam dan di luar padang.
Kecemerlangan Johor Darul Takzim (JDT) yang dinobatkan juara buat 10 tahun berturut-turut sememangnya sukar disangkal apabila hanya dua mata digugurkan mereka sepanjang musim.
Tidak cukup dengan itu, isu gaji yang sekali lagi melanda boleh dianggap mengejutkan apabila separuh daripada pasukan bersaing berdepan masalah terbabit.
Malah, persembahan pemain, baik dalam kalangan import mahupun tempatan sepanjang musim turut menjadi bahan bualan hangat dengan ada daripada mereka gagal mencapai standard ditetapkan.
Isu terbabit seperti tidak dialami mereka yang sudah berpengalaman dalam Liga Super apabila masing-masing tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri.
Jadi, tumpuan sememangnya lebih diberikan kepada bintang-bintang baharu yang dibawa masuk awal musim lalu memandangkan harapan cukup tinggi diletakkan buat mereka.
Selain import baharu, arena bola sepak tempatan turut menyaksikan perpindahan pemain tempatan yang menyertai kelab baharu untuk mencari pengalaman berbeza.
Meskipun ada dalam kalangan mereka meraih pencapaian, ada juga yang kurang bernasib baik apabila kurang memberikan impak akibat beberapa faktor.
Oleh itu, dengan tirai Liga Super 2023 sudah dilabuhkan, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dilihat bersinar dengan kelab baharu serta mereka yang malap selepas memilih untuk berubah angin musim ini.
SUKSES
1. Faisal Halim (Selangor FC)
Saingan Liga Super musim ini boleh dianggap satu kejayaan buat Selangor FC yang muncul sebagai naib juara, sekali gus menamatkan penantian mereka ke pentas Asia.
Pencapaian itu diraih dengan beberapa statistik cemerlang apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe berada di tangga kedua dalam jumlah jaringan dijaringkan.
Rekod itu diraih dengan kehadiran jentera serangan yang cukup efektif, lebih-lebih lagi daripada penyerang dari Colombia, Ayron del Valle selepas dia muncul penjaring terbanyak Liga Super 2023.
Faisal Halim membuktikan nilainya bersama skuad Gergasi Merah musim ini. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, sekiranya dilihat kepada persembahan sepanjang musim, kredit lebih besar perlu diberikan kepada pemain sayap bertubuh kecil, Faisal Halim.
12 gol dan lapan bantuan jaringan yang direkodkannya menjadi bukti bahawa dia merupakan kunci utama buat jentera serangan skuad Gergasi Merah musim ini.
Selain itu, kebolehannya untuk mewujudkan kesefahaman bersama pemain lain membolehkan Selangor FC merealisasikan impian mereka untuk ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Jadi, sumbangan-sumbangan berkenaan sudah cukup untuk meletakkan tonggak berusia 25 tahun terbabit sebagai pembelian berbaloi setelah dia tiba dari Terengganu FC awal tahun lalu.
2. Syihan Hazmi (JDT)
Musim ini, pelbagai rekod dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air mudah dipecahkan JDT yang sekali lagi menjuarai kesemua empat kejohanan domestik.
Antara catatan yang berjaya dipadam skuad Harimau Selatan ialah jumlah gol dibolosi paling sedikit apabila mereka hanya melepaskan tujuh gol dalam 26 perlawanan.
Kecemerlangan benteng pertahanan merupakan kunci utama di sebalik rekod terbabit dengan bekas pengendali pasukan, Esteban Solari bijak menyusun pemainnya.
Syihan merupakan penjaga gol terbaik dalam Liga Super ketika ini.
Tetapi, tumpuan masih diraih penjaga gol, Syihan Hazmi yang hadir dari Negeri Sembilan FC dalam misi kelab menggantikan Farizal Marlias.
Pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi cukup baik sepanjang 24 penampilan buat skuad Harimau Selatan apabila dia sering mengecewakan penyerang lawan.
Berdasarkan statistik dikeluarkan, anak jati Kelantan itu melakukan 27 tepisan dalam saingan Liga Super dengan catatan terbabit menjadi bukti bahawa dia boleh diharapkan.
Kecemerlangan Syihan turut disaksikan ketika kempen ACL, terutamanya ketika aksi berdepan Ulsan Hyundai di laman sendiri dengan pemain terbabit mempamerkan kualitinya sepanjang perlawanan.
3. Ramon Machado (Sabah FC)
Tidak boleh dinafikan bahawa Sabah FC kurang bernasib baik setiap kali membawa penyerang import baharu apabila masing-masing gagal memikul tanggungjawab masing-masing.
Neto Pessoa dan Jose Embalo yang pernah menyarung jersi skuad Sang Badak gagal mengukuhkan tempat mereka dalam pasukan setelah bergelut di hadapan pintu gol.
Bagaimanapun, kisah berbeza disaksikan musim ini apabila penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado yang dibawa masuk dari kelab Azerbaijan, Qabala FC ketika jendela perpindahan kedua Liga Super mudah menyesuaikan diri.
Ramon Machado menamatkan penantian skuad Sang Badak untuk mendapatkan penyerang import berkualiti. — Facebook/Sabah FC
Meskipun memiliki Darren Lok, pihak pengurusan masih mendapatkan pemain terbabit memandangkan skuad Sang Badak bersaing dalam kempen Piala AFC.
Keputusan berkenaan sememangnya tepat apabila penyerang berusia 32 tahun berkenaan mencatatkan sembilan gol dan tiga bantuan jaringan dalam hanya 11 penampilan Liga Super.
Prestasi menakjubkan itu turut dipersembahkan di pentas Asia apabila kehadiran Ramon membantu mereka meloloskan diri ke peringkat separuh akhir Zon Asean.
Jadi, pulangan itu menyaksikan penyerang tersebut sebagai salah satu calon pembelian terbaik pasukan Liga Super musim ini meskipun terdapat pemain dengan catatan lebih memberangsangkan.
FLOP
1. Richmond Boakye (Selangor FC)
Seperti dikatakan di atas, jentera serangan Selangor FC musim ini adalah antara yang paling efektif apabila mereka muncul sebagai pasukan dengan jumlah gol kedua terbanyak dalam Liga Super.
Gandingan Faisal Halim dan del Valle merupakan kunci di sebalik rekod tersebut dengan bantuan Yohandry Orozco, Noor Al Rawabdeh dari bahagian tengah.
Tetapi, dalam memperkuatkan lagi ancaman serangan mereka, skuad Gergasi Merah membuat keputusan membawa masuk seorang lagi penyerang pada jendela perpindahan pertengahan musim, Richmond Boakye.
Boakye gagal membuktikan reputasinya bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Pemain yang pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan beberapa kelab sekitar Eropah itu membawa satu reputasi cukup besar.
Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikannya beraksi dengan cemerlang tidak kesampaian apabila pemain import dari Ghana itu sering mempamerkan aksi ala kadar.
Meskipun masih menjaringkan enam gol, termasuk hatrik ketika berdepan Kelantan FC, rata-rata penyokong dilihat amat tidak berpuas hati dengan kehadirannya.
Perkara tersebut sudah cukup untuk meletakkan Boakye sebagai salah seorang rekrut yang malap dalam Liga Super walaupun hadir dengan reputasi memberangsangkan.
2. Adisak Kraisorn (Terengganu FC)
Awal musim 2023 yang lalu, Terengganu FC membuat perbelanjaan besar untuk menguatkan pasukan setelah hampir kesemua pemain mereka meninggalkan kelab tersebut.
Antara yang dibawa masuk skuad Sang Penyu ialah penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn selepas kontraknya dengan Muangthong United tamat.
Pemain yang pernah mencipta nama dengan membawa pulang Anugerah Kasut Emas Piala AFF 2018 itu memberi sinar baharu buat penyokong kelab Pantai Timur terbabit dalam mengetuai jentera serangan pasukan.
Adisak hanya menjaringkan tiga gol dalam 19 penampilan Liga Super. — Facebook/Terengganu FC
Namun, isu kecederaan serta kesukaran menyesuaikan diri menyaksikan penyerang berusia 32 tahun terbabit gagal menempatkan diri dalam pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner itu.
Selain itu, pemain terbabit terpaksa bersaing dengan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut untuk slot dalam kesebelasan utama sehingga menyaksikannya diletak dalam posisi berbeza.
Tiga gol dan dua bantuan jaringan daripada 19 penampilan Liga Super dilihat akan menyukarkan hasrat Adisak untuk kekal dalam Liga Super musim depan.
3. Lucas Silva (Sri Pahang FC)
Dalam harapan menguatkan jentera serangan pasukan, Sri Pahang FC mengambil keputusan mendapatkan khidmat dua penyerang import, Lucas Silva dan Kpah Sherman awal musim lalu.
Kedua-dua pemain yang cukup berpengalaman dalam Liga Super itu dilihat sebagai calon terbaik untuk mengulangi gandingan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti bertahun-tahun dahulu.
Tetapi, harapan berkenaan tidak kesampaian apabila Lucas dilaporkan mengalami kecederaan kaki pada awal musim sehingga menyaksikannya disisihkan untuk beberapa perlawanan.
Lucas Silva (depan) tidak memberikan sumbangan menakjubkan buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Lebih mendukacitakan lagi, reputasi pemain dari Brazil tersebut diburukkan apabila dia gagal mencetak jaringan ketika aksi Liga Super antara skuad Tok Gajah dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Isu kecederaan sekali lagi menghantui bekas peledak Penang FC terbabit sehingga menyaksikannya lebih kerap memanaskan bangku simpanan pada baki musim.
Pulangan tidak berbaloi itu kemudiannya menyaksikan pemain berkenaan ditamatkan kontrak dengan dia difahamkan memilih untuk kembali ke negara kelahirannya.
Secara keseluruhan, Lucas hanya mencatatkan lapan penampilan buat Sri Pahang FC dalam kesemua pertandingan dengan hanya satu bantuan jaringan direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram