SETELAH lapan tahun menunggu, Selangor FC akhirnya menamatkan penantian mereka untuk beraksi di pentas Asia setelah muncul naib juara Liga Super musim ini.
Kedudukan akhir berkenaan menyaksikan mereka layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 tahun depan selepas kali terakhir bersaing dalam Piala AFC 2016.
Jadi, tidak hairanlah apabila pencapaian berkenaan diraikan ribuan penyokong skuad Gergasi Merah dalam aksi terakhir mereka berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor pada 17 Disember lalu.
Meskipun Selangor FC mengesahkan status sebagai naib juara selepas menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pertemuan dengan skuad Sang Saka Biru itu memberi peluang mereka bermain di hadapan penyokong sendiri.
Berdasarkan statistik, seramai 10,737 penonton hadir untuk menyaksikan perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 3-1 buat skuad Gergasi Merah.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) December 30, 2023
Antara yang turut hadir memeriahkan perlawanan berkenaan ialah pelawak terkenal negara, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet.
Dia yang sememangnya dikenali sebagai penyokong tegar KDA FC hadir untuk menyaksikan aksi berkenaan dalam meraikan pencapaian cukup bermakna buat pasukan Lembah Klang itu.
Malah, pelawak dari kumpulan Senario tersebut turut diberikan peluang menyambutnya bersama pemilik kelab, Raja Muda Selangor (RMS) Tunku Amir Shah ketika separuh masa pertama perlawanan.
Berdasarkan sebuah video dikongsikan di laman media sosial, Lan Pet Pet sempat menonjolkan bakatnya dengan menghasilkan bunyi seakan-akan trompet menggunakan jarinya.
Sambutan itu dibuat seiring dengan hari lahir ke-33 RMS yang meraikannya pada 12 Disember, namun mengambil peluang menyambutnya sekali lagi bersama kenalan dekatnya.
Persembahan Lan Pet Pet tersebut diikuti dengan RMS memotong kek sambil diraikan beberapa tetamu istimewa dengan masing-masing dilihat cukup teruja dalam sambutan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram