SEJAK akhir-akhir ini, khabar angin mengenai perpindahan pemain pastinya antara yang ditunggu-tunggu penyokong berikutan rata-ratanya ingin mengetahui sejauh mana persiapan pasukan kesayangan untuk tampil memberi saingan lebih mencabar pada musim depan.
Antara yang tidak terlepas daripada khabar angin perpindahan pemain ialah Johor Darul Takzim (JDT) terutamanya selepas pengendalinya, Esteban Solari memberi bayangan Harimau Selatan akan membawa masuk tiga atau empat pemain import baharu.
Salah satu daripada pemain import yang sudah disahkan akan menyarung jersi juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut pada musim depan ialah pemain tengah kelahiran Argentina, Jalil Elias.
Selepas Jalil, pelbagai nama import terus dikaitkan dengan Harimau Selatan dan terbaharu ialah bekas tonggak kelab Portugal, Pacos Ferreira iaitu Joao Vigario dikatakan akan memperkuatkan bahagian pertahanan JDT pada musim depan.
Vigario (kanan) pernah mewakili pasukan B-20 Portugal. — Agensi
Pemain berusia 28 tahun itu kini berstatus ejen bebas selepas hampir tiga musim menabur bakti bersama Pacos Ferreira dan meninggalkan pasukan divisyen kedua Liga Portugal itu pada Julai lepas.
Sejak memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional, bekas tonggak skuad Portugal Bawah 20 Tahun (B-20) itu berpengalaman beraksi bersama pelbagai kelab di negara kelahirannya dan antaranya iala Nacional, Tondela dan Vitoria Guimaraes SC.
Sekiranya Vigario disahkan akan menyertai JDT pada musim depan, pemain berketinggian 1.80 meter itu akan memberi saingan kepada Corbin Ong untuk merebut posisi bek kiri dan secara tidak langsung juga akan menambah pilihan kepada Solari.
Arribas menyertai JDT pada awal musim ini. — Facebook/JDT
BACA LAGI: Bintang J League, rakan Dion Cools mampu bantu JDT 'mengaum' di pentas Asia musim depan
Hal ini kerana, posisi bek kiri dianggap paling menggetirkan Harimau Selatan berikutan Oscar Arribas yang pada awalnya dibawa untuk menjadi pelapis Corbin semakin lama kurang memberikan impak dan akhirnya bintang naturalisasi negara tersebut kembali mendominasi posisi berkenaan.
Malah, penyokong Harimau Selatan juga tidak menolak kemungkinan Arribas juga difahamkan akan meninggalkan JDT pada musim depan selepas satu hantaran yang dimuat naik oleh laman penyokong, Palatao Bola.
Musim ini, Arribas tampil dalam 18 perlawanan peringkat Liga Super dan di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), pemain kacukan Sepanyol-Filipina itu hanya diturunkan dalam tiga perlawanan.
Jika benar Arribas berhijrah, ia akan memperkuatkan lagi spekulasi kehadiran Vigario ke Stadium Sultan Ibrahim musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram