Anak jati Johor jadi sasaran ketiga skuad TBG menjelang saingan musim depan?


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Skuad TBG sudah membawa masuk dua pemain baharu menjelang saingan liga musim depan. — Facebook/Perak FC

SELEPAS menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ke-11, Perak FC dilihat semakin bersedia untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran musim depan.

Kehadiran pemain serba boleh, Tommy Mawat Bada dari Negeri Sembilan FC menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) menjadi pasukan tempatan pertama mengumumkan kehadiran pemain baharu.

Langkah kelab Utara tanah air itu tidak terhenti di situ apabila mereka pada Sabtu turut mengalu-alukan kedatangan pemain muda Terengganu FC, Azfar Fikri.

Keputusan itu boleh dianggap sebagai satu percaturan awal daripada pihak pengurusan untuk memberi sokongan kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah untuk saingan akan datang.

Namun, perbelanjaan skuad TBG dilihat tidak akan terhenti di situ dengan mereka dikhabarkan mahu membawa masuk beberapa nama baharu untuk memperkuatkan pasukan.

1995324

Haziq Nadzli terus disebut-sebut sebagai penjaga gol baharu Perak FC musim depan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan khabar angin, Perak FC dilaporkan mahu mendapatkan pemain dari juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) secara pinjaman, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang kurang mendapat minit permainan.

Antara nama yang pernah dikaitkan ialah bek tengah, Adam Nor Azlin serta penjaga gol, Haziq Nadzli yang masing-masing hanya diletakkan dalam skuad simpanan musim ini.

Tetapi, ura-ura itu dilihat semakin sunyi di media sosial dengan beberapa laporan lain turut menyebut bahawa beberapa kelab Liga Super lain turut berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.

Bagaimanapun, penyokong skuad TBG tidak perlu gusar apabila pada Ahad, khabar angin itu kembali kecoh setelah satu hantaran dibuat laman peminat kelab, Silver Retro.

"Anak kelahiran Johor ini dijangka akan kembali berbakti untuk pasukan Perak FC dalam saingan musim baru 2024. Sebagai rekod, pernah beberapa kali dipanggil mewakili negara untuk mengalas tugas di benteng terakhir pasukan kebangsaan," tulisnya.

Hantaran tersirat itu sememangnya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong skuad TBG yang mula memetik nama di ruangan komen.

411688721_927333198961258_5212165429832069741_n

Klu yang diberikan mengenai pemain baharu yang bakal disambar Perak FC. Facebook/Silver Retro

Berdasarkan klu yang diberikan, ramai beranggapan Haziq Nadzli merupakan pemain yang dimaksudkan, namun statusnya yang bukan berasal dari Johor menepis jangkaan terbabit.

Selain itu, ada juga yang berasakan penjaga gol senior Harimau Selatan, Farizal Marlias bakal kembali menyertai skuad TBG selepas kehilangan tempat kepada Syihan Hazmi musim ini.

Tetapi, dia yang merupakan anak jati Maran, Pahang dianggap tidak sesuai dengan bayangan diberikan, sekali gus menutup pintu akan kepulangannya.

Bekas penjaga gol skuad TBG, Zamir Selamat turut disebut-sebut meskipun pemain berkenaan kini tidak lagi beraksi dengan mana-mana pasukan Liga Super selepas kali terakhir mewakili Perak FC di Liga Perdana pada 2022.

Posisi tersebut sememangnya menjadi tumpuan untuk ditambah baik skuad TBG dengan ketiga-tiga pilihan mereka, Bryan See Tian Keat, T Shaheeshwaran dan Farhan Majid masih belum bersedia untuk beraksi di tahap tertinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram