BARU sahaja jendela perpindahan Liga Super dibuka, tetapi Perak FC dilihat sudah bersungguh-sungguh berbelanja untuk mempersiapkan pasukan bagi musim akan datang.
Kehadiran bekas pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada menyaksikan pasukan tersebut menjadi yang pertama mengumumkan kehadiran rekrut baharu.
Tidak lama selepas itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) pula diperkuatkan ubi muda Terengganu FC, Azfar Fikri Azhar yang cukup sesuai dengan pendekatan Yusri Che Lah dalam menurunkan pemain muda.
Bagaimanapun, dalam memberi ruang dalam skuad, kelab Utara tanah air itu terpaksa membuat perubahan dengan melepaskan beberapa pemain yang kurang mendapatkan minit permainan.
Nasrol kurang meraih minit permainan bersama skuad senior TBG musim ini. — Facebook/Perak FC
Antara yang dibenarkan untuk mencari majikan baharu ialah pemain pertahanan berusia 24 tahun, Nasrol Amri yang merekodkan sembilan penampilan Liga Super 2023.
Dia yang terpaksa bersaing dengan Aiman Khairul Yusni untuk posisi bek kanan musim ini ditunjukkan pintu keluar dengan kehadiran Tommy Mawat juga menjadi antara faktor atas keputusan itu.
Jadi, sehingga kini, pemain yang pernah beraksi dalam skuad simpanan Perak FC itu masih belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan, sekali gus menjadikannya ejen bebas.
Namun, baru-baru ini, Nasrol seakan-akan memberi gambaran awal mengenai kelab yang bakal disertainya musim depan menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya.
Tangkap layar daripada hantaran Nasrol di laman Instastory peribadinya.
Dia yang sedang menjalani sesi latihan bersama bantuan seseorang kelihatan menyarung jersi Terengganu FC yang dipakai pasukan itu dua tahun lalu.
Meskipun tidak memberikan bayangan secara jelas, ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa Nasrol berminat untuk menyertai pasukan yang sememangnya dikenali dengan kebolehan menggilap bakat muda.
Skuad Sang Penyu berjaya mencipta momen tersendiri musim ini apabila menjuarai Piala MFL dengan prestasi cukup memberangsangkan
Jadi, sekiranya Nasrol memilih untuk menyertai pasukan Pantai Timur itu, ia boleh dianggap sebagai satu langkah positif dalam kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram