SUKAR untuk peminat bola sepak tanah air menafikan bahawa pasukan Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC sering dilimpahi penyerang berbisa dari dalam mahupun luar negara.
Skuad Sang Kenari memberi kepercayaan terhadap Willian Lira pada separuh pertama musim ini dengan dia memberikan pulangan berbaloi setelah menjaringkan lapan gol dalam 14 penampilan Liga Super.
Bagaimanapun, perubahan semasa jendela perpindahan kedua menyaksikan pasukan tersebut membawa masuk peledak berbisa, Ifedayo Olusegun yang turut mencatatkan jumlah jaringan menakjubkan.
Hal itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila KDA FC pernah meletakkan sandaran kepada beberapa penyerang import, termasuk bekas ketua pasukan Terengganu FC, Tchetche Kipre.
Keputusan tersebut dibuat pada jendela perpindahan awal musim 2020 setelah pemain kelahiran Ivory Coast itu sudah membuktikan kebolehannya dalam Liga Super sepanjang tiga tahun bersama skuad Sang Penyu.
Tchetche terlebih dahulu mencipta nama bersama skuad Sang Penyu.
Lebih menarik lagi, perpindahan itu dibuat dalam usaha KDA FC melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menerusi aksi 'play-off' setelah mereka menjuarai Piala FA pada tahun sebelumnya.
Reputasi Tchetche pada waktu tersebut adalah cukup baik apabila dia beberapa kali membantu Terengganu FA mencatatkan momen indah, termasuk ketika pasukan itu layak ke Piala Malaysia 2018.
Kehadirannya menyaksikan penyokong Hijau Kuning begitu teruja dengan pemain bertubuh sasa terbabit bakal digandingkan di samping seorang lagi penyerang berasal dari tanah Afrika, Kpah Sherman yang tiba dari PKNS FC.
Perkara itu terbalas apabila Tchetche menjaringkan hatrik ketika skuad Sang Kenari meraih kemenangan bergaya 5-1 ke atas kelab Hong Kong, Tai Po FC dalam aksi pertama peringkat 'play-off'.
Namun, dalam aksi kedua menentang FC Seoul, jurang kualiti kedua-dua pasukan menyaksikan Kedah tewas 4-1, sekali gus memadam hasrat mereka untuk beraksi dalam ACL.
Tchetche tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Baca Lagi: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
Kekecewaan tersebut bagaimanapun tidak memadam naluri penyerang tersebut di hadapan pintu gol apabila dia muncul penjaring terbanyak pasukan dalam kesemua kejohanan dengan 10 gol.
Prestasi memberangsangkan itu menjadi faktor kontraknya bersama skuad Sang Kenari diteruskan dengan dia sekali lagi membantu KDA FC menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga kedua.
Kini, penyerang berusia 36 tahun terbabit tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan setelah kontraknya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC tamat awal Disember lalu.
Meskipun boleh dilabel cukup berusia, Tchetche dilihat masih boleh menabur bakti dalam Liga Super dengan kelincahan serta kekuatannya di atas padang sukar ditanding pemain tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram