'Buku bertemu ruas', 5 import Liga M sedia cabar skuad KPG di Piala Asia


  • Podium
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Malaysia melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2023 selepas penantian selama 42 tahun. — FAM

KETUA jurulatih pasukan Harimau Malaya, Kim Pan-gon kini sedang rancak membuat persiapan bersama anak-anak buahnya menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang akan bermula 12 Januari di Qatar nanti.

Senarai 26 pemain yang dipanggil telah melaporkan diri ke kem latihan pusat kebangsaan dan difahamkan dalam momentum terbaik untuk mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air.

Malaysia yang dibarisi ramai individu berpengalaman serta khidmat naturalisasi dan pemain warisan negara, pastinya mahu melakar kejutan selepas berjaya melayakkan diri secara merit ke kejohanan itu selepas penantian 42 tahun.

Beberapa faktor mendorong kejayaan pasukan negara ke Piala Asia khususnya kehadiran import yang dibawa masuk setiap pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Situasi itu secara tidak langsung membuatkan persaingan sesama pemain lebih kompetitif dalam mempamerkan persembahan terbaik untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama pasukan.

Namun, menjelang kejohanan Piala Asia yang bakal bermula minggu depan, turut menyaksikan pertembungan beberapa import Liga M dan pemain negara yang bakal bersaing mewakili negara masing-masing.

Diibaratkan seperti 'buku bertemu ruas', lima import di bawah merupakan antara pemain yang berkemungkinan akan menentang rakan sepasukannya di Malaysia dalam Piala Asia 2023.

Jordan vs Saudi Arabia during the AFC U23 Championship China 2018 Group C match at Changshu Sports Center on 10 January 2018, in Changshu, China. Photo by Yu Chun Christopher Wong / Power Sport Images

1. Noor Al-Rawabdeh (Jordan)

Pemain tengah yang mewakili Selangor FC ini bakal memikul cabaran negara kelahirannya, Jordan di Piala Asia kelak.

Diundi dalam satu kumpulan bersama Harimau Malaya, Korea Selatan dan Bahrain juga bakal menjadi halangan terbesar buat pemain negara menduduki sekurang-kurangnya posisi dua terbaik bagi saingan peringkat Kumpulan E.

Cemerlang bersama Gergasi Merah, Al-Rawabdeh pastinya akan memanfaatkan segala pengalamannya sepanjang beraksi di Liga M.

Malah, persefahaman terbentuk bersama dua rakan sepasukannya di Selangor iaitu Brendan Gan dan Khuzaimi Piee juga dijangka digunakan sebaiknya bagi membongkar kelemahan pemain-pemain itu bersama rakan senegaranya.

jordi

2. Jordi Amat (Indonesia)

Pertahanan kental Johor Darul Takzim (JDT) ini bakal mengetuai cabaran skuad Indonesia di Qatar kelak.

Skuad Garuda yang dikhabarkan membariskan pasukan terkuatnya bagi kejohanan kali ini, bakal muncul sebagai pencabar terkuat dari Asia Tenggara selain daripada Malaysia dan Vietnam.

Persembahannya di JDT tidak perlu diperkatakan lagi kerana sepanjang musim ini, Jordi Amat boleh dikatakan antara tonggak utama Harimau Selatan selepas diturunkan dalam hampir kesemua perlawanan iaitu sebanyak 23 penampilan dimilikinya.

Bertubuh tegap dan memiliki ketinggian 1.85 meter antara kekuatan utama pemain naturalisasi Indonesia ini yang berupaya mengekang asakan pemain lawan bersaiz besar terutamanya dari benua Asia Timur.

sonyy

3. Soony Saad (Lubnan)

Tonggak utama skuad Penang FC musim ini, Soony Saad juga tidak terlepas daripada tersenarai dalam skuad Lubnan ke Piala Asia.

Berusia 31 tahun, peledak utama pasukan Pantai Timur ini berjaya menghasilkan enam jaringan daripada 18 penampilan dimiliki.

Memiliki rembatan padu dari luar kotak penalti merupakan antara kelebihan serta senjata utama pemain ini yang pastinya boleh mengundang bahaya sekiranya ditakdirkan bertemu Malaysia kelak.

amir

4. Amirbek Juraboev (Tajikistan)

Pernah menjadi duri dalam daging pada skuad kebangsaan sebelum ini, penyerang Kedah ini antara pemain yang pernah mengecewakan seluruh peminat bola tanah air selepas Tajikistan menewaskan Harimau Malaya dalam perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Oktober lalu.

Beraksi di posisi tengah, Amirbek boleh dianggap sebagai pemain yang sangat versatil kerana kemampuannya dalam membantu pertahanan serta kreatif mengatur serangan buat Sang Kenari.

Kelebihannya dalam membuat hantaran tepat serta mengawal tempo permainan menjadikan dirinya sebagai satu aset penting buat Nafuzi Zain dalam mengatur taktikal perlawanan musim ini.

Rajin membantu serangan dan pertahanan pasukan, pemain berusia 27 tahun ini antara individu yang perlu diberikan perhatian dalam edisi Piala Asia kali ini.

kii

5. Saddil Ramdani (Indonesia)

Seorang lagi pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani antara tumpuan ramai bukan sahaja peminatnya di negara kelahirannya, malah penyokong Sabah FC juga antara pihak yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahannya kelak.

Merupakan nadi utama kepada skuad The Rhinos, kelincahannya ketika melarikan bola serta kepakarannya dalammengambil sepakan sudut dan percuma sering kali mendapat pujian ramai penonton di stadium.

Cemerlang membantu pasukannya ketika membenam PSM Makassar di perlawanan Piala AFC lalu, pemain sayap memainkan watak penting dalam pertemuan itu apabila meledak tiga gol sekali gus menyaksikan keputusan 5-0 diperoleh anak buah Ong Kim Swee itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram