Pengurangan kos operasi JDT cetus impak besar bagi saingan Liga M 2024


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

JDT akan mengurangkan kos perbelanjaan bagi menghadapi saingan musim akan datang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DALAM pada persediaan rapi sedang dilakukan setiap pasukan liga tempatan ketika ini, lain pula ceritanya bagi kelab gergasi Johor Darul Takzim (JDT) yang memilih untuk mengurangkan perbelanjaan tahunan bagi menghadapi saingan musim depan.

Setelah mengambil kira segala kos serta perbelanjaan jangka masa panjang, kelab itu mengambil keputusan untuk mengurangkan pelaburan menjelang tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, pasukan itu perlu membuat penstrukturan kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

"Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30 hingga 40 peratus untuk membolehkan proses tersebut. Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, perubahan itu bakal menyaksikan pasukan terbabit akan melepaskan beberapa pemain serta staf teknikal memasuki musim akan datang.

dtdt

Kenyataan dikeluarkan JDT mengenai perancangan masa depan pasukan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bertitik tolak daripada itu, situasi berkenaan dijangka bakal mencetuskan impak besar buat landskap bola sepak tanah air susulan keputusan mengejut yang diambil.

Perkara itu secara tidak langsung memberi kesan kepada pasukan-pasukan lain yang pastinya mahu mensasarkan kejuaraan selain mencabar kedudukan JDT selaku kuasa besar bola sepak Asia Tenggara ketika ini.

Berikut merupakan empat perkara yang mungkin dihadapi kelab lain berhubung pengurangan kos operasi JDT pada musim depan:

1. Saingan Liga M semakin kompetitif

Pengurangan kos operasi yang dibuat secara tidak langsung akan menghadkan jumlah pembelian pemain baharu bagi menghadapi cabaran musim baharu kelak.

JDT yang sebelum ini sakan berbelanja besar mendapatkan khidmat import ternama dunia, dijangka tidak akan berlaku pada kali ini.

Sebaliknya, pengurusan kelab itu akan lebih memfokuskan peningkatan prestasi pemain sedia ada yang sekali gus membuka peluang buat kelab lain mencabar kedudukan pasukan juara Piala Malaysia buat kali kesepuluh berturut-turut itu.

KUALA NERUS, 9 Jun -- Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Da Silva (kiri) meraikan gol dengan cara tersendiri selepas menjaringkan gol semasa menentang pasukan Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam ini.Keputusan penuh perlawanan TFC 1- 3 JDT.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

JDT dibarisi ramai pemain import ternama berkualiti. — Bernama

Situasi itu dilihat memberikan sedikit kelebihan buat pasukan lain yang mungkin sudah boleh membaca taktikal serta skil pemain sedia ada JDT musim ini.

Sekiranya JDT kekal dengan import dan bakat tempatan sedia ada, jurulatih pasukan lain mempunyai masa untuk merancang strategi bagi mengekang asakan ataupun membaca titik kelemahan kelab terbabit dengan membawa masuk pemain baharu yang lebih berpotensi musim depan.

Maka dengan itu, saingan Liga Malaysia (Liga M) akan kembali dimeriahi dengan perlawanan yang seimbang khususnya tahap keyakinan pemain dari kelab lain yang lebih berdaya saing bagi merebut trofi kejuaraan akan datang.

2. Penjimatan kelab tempatan

Umum sedia maklum bahawa import antarabangsa sememangnya memerlukan kos perbelanjaan serta pelaburan yang besar buat sesebuah pasukan itu memiliki pemain berkualiti.

Namun, situasi itu sudah menjadi kelaziman buat JDT yang sebelum ini kerap mendapatkan pemain dengan nilai tinggi di pasaran bagi memperkuatkan pasukannya.

Pemain pertahanan Jordi Amat kekal selaku pemain termahal Liga M dengan nilai RM4.67 juta, diikuti Fernando Forestieri (RM2.97 juta) dan Oscar Arribas (RM2.33 juta).

Forestieri-e1681055382193

Fernando Forestieri (tengah) merupakan antara penyerang import termahal dimiliki JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Trend itu serba sedikit mula menjadi ikutan pasukan-pasukan lain yang turut berbelanja besar untuk memiliki pemain berkualiti seperti di JDT.

Namun, ia tidak menjamin sebarang pulangan lumayan buat pasukan sekiranya terlampau boros berbelanja, sebaliknya hanya mengundang kerugian dan menjejaskan operasi sesebuah kelab apabila terlampau memfokuskan perlbelanjaan pemain berbanding fasiliti lain.

Maka, pengurangan kos operasi JDT musim depan juga diharapkan akan memberikan iktibar kepada pasukan lain yang seharusmya lebih menumpukan perbelanjaan kepada kemudahan padang latihan, pembaikan stadium serta kelengkapan sukan pemain-pemainnya.

3. Peluang bakat tempatan menyinar

Lambakan pemain import JDT telah mengakibatkan pemain tempatan semakin dilupakan dan sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Posisi penyerang khususnya antara yang kerap didominasi muka import yang dikatakan lebih layak bermain susulan persembahan bertenaga dan menyakinkan dipamerkan atas padang.

Namun, keputusan JDT yang akan melepaskan beberapa pemain musim depan, merupakan satu detik berharga yang perlu digunakan sebaik mungkin pemain tempatan khususnya individu yang sering menerima panggilang kebangsaan.

Syamer Kutty, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor antara pemain Harimau Malaya yang masih ketandusan minit permainan bersama JDT susulan posisi mereka lebih kerap dimainkan pemain import.

4. Pemain JDT berhijrah ke pasukan lain

Di JDT, beberapa bakat ternama seperti kurang dihargai susulan kelibat mereka lebih kerap memanaskan bangku simpanan daripada bermain di atas padang.

Khabar angin mula bertiup mengatakan beberapa kelab kini mensasarkan beberapa pemain JDT yang berbakat, namun kurang diberikan peluang dalam kesebelasan utama.

Harimau Selatan yang mengumunkan akan melepaskan beberapa pemainnya sebelum musim depan berlangsung, pastinya detik yang dinanti-nantikan pasukan lain kerana berpeluang untuk menyambar individu yang masih berbakat di pasukan itu.

daniel

Daniel Amier dijangka akan berhijrah ke pasukan lain pada musim depan bagi mendapatkan minit permainan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Daniel Amier, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid antara penyerang berbisa yang semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini berhubung perpindahan pasukan lain yang dikatakan lebih baik dan mampu mengembalikan prestasi cemerlang mereka.

Justeru, selaku pasukan terunggul di Malaysia, pengumuman pengurangan kos yang bakal dilakukan menjelang musim akan datang dilihat bukan sahaja memberikan kesan kepada kelab tersebut, malah turut mencetuskan impak besar kepada arena bola sepak tanah air.

Untuk rekod, JDT bakal bersaing dalam pertandingan format baharu di pentas Asia musim depan iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit yang pastinya menjanjikan cabaran lebih hebat buat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram