Kurang menjadi di JDT, import 'sasuke' Harimau Selatan jadi rebutan 2 kelab tempatan


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

Kunimoto (tengah) disebut-sebut bakal berhijrah ke pasukan lain bagi saingan musim 2024. — Facebook/JDT

KEHADIRAN Takahiro Kunimoto yang pada mulanya mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat Harimau Selatan, kini semakin dilupakan selepas gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Sekadar mencatatkan enam penampilan bersama Johor Darul Takzim (JDT) pada musim ini, ia nyata satu situasi yang agak merugikan dengan reputasinya selaku import kelahiran Jepun, sewajarnya memberikan kepulangan yang baik buat kelab.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila posisinya yang boleh diturunkan di bahagian sayap kiri dan kanan, lebih kerap didominasi pemain-pemain lain seperti Arif Aiman dan Akhyar Rashid yang lebih mendapat kepercayaan jurulatih Estaban Solari.

LEAD-HEBERTY-FERNANDES-1-scaled

Heberty Fernandes dibawa masuk selaku import baharu JDT bagi musim 2023. — Facebook/JDT

Khabar angin ketika ini kuat mengatakan masa depan Kunimoto bersama JDT bakal berakhir pada musim ini selepas gagal mempamerkan peningkatan seperti mana ditunjukkan seorang lagi import seangkatannya iaitu Heberty Fernandes.

Untuk rekod, kedua-duanya dibawa masuk serentak oleh pengurusan JDT selepas menolak keputusan untuk menandatangani bekas penyerang Manchester United, Radamel Falcao pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, peminat bola tanah air kini sudah mula berteka-teki destinasi seterusnya bagi pemain lincah Jepun tersebut.

Dua pasukan dijangka akan merebut khidmat Kunimoto bagi memperkuatkan jentera serangan masing-masing selain mencabar penguasaan JDT yang semakin sukar ditandingi mana-mana kelab ketika ini.

sell

Selangor FC

Skuad Gergasi Merah yang berjaya melayakkan diri ke saingan Asia musim depan, pastinya sedang sibuk merangka strategi serta mengesan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan dalam kejohanan itu nanti.

Selangor yang ketika ini memiliki penyerang sayap lincah kebangsaan Muhammad Faisal Halim, semakin cemerlang dalam saingan tempatan selepas berjaya menduduki tangga kedua carta Liga Super pada musim ini.

Kelibatnya yang sentiasa mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan, dijangka mampu diperkuatkan lagi sekiranya pemain kelahiran Pulau Pinang itu digandingkan dengan Kunimoto di posisi sayap kiri dan kanan pasukan.

Memiliki corak permainan serta kelajuan yang hampir sempurna, Kunimoto mampu memainkan peranan selaku peledak ataupun 'key player' yang mencipta peluang gol buat rakan sepasukan yang lain.

Kelajuan serta kawalan bola kemas dimiliki, akan lebih membuahkan hasil sekiranya persefahaman antara kedua-dua penyerang licik itu terbentuk dan seterusnya menjadi senjata baharu buat Tan Cheng Hoe di peringkat Asia kelak.

2ba083ce-b86f-4261-8500-5d9630c675f7

Kedah FC

Sang Kenari yang juga antara kelab yang paling berpotensi untuk dijadikan destinasi seterusnya buat pemain Jepun itu.

Dibarisi pemain-pemain berkualiti pada musim ini, menyaksikan Kedah FC berjaya mencatatkan 17 kemenangan daripada 26 perlawanan secara keseluruhan musim ini.

Meskipun begitu, ia masih gagal mencapai sasaran penyokong yang mahu menyaksikan Kedah merangkul trofi kejuaraan musim ini yang sekali gus mengundang spekulasi Kunimoto selaku import baharu Kedah kelak.

Jika di JDT tempatnya lebih didominasi Arif Aiman, maka di Kedah pastinya lebih menjamin minit permainan susulan Sang Kenari masih belum memiliki tonggak utama ataupun pemain harapan yang mampu menggalas tugas berat bagi posisi tersebut.

Tidak dinafikan, Manuel Hidalgo antara individu yang telah banyak berjasa kepada pasukan musim ini namun, kehadiran Kunimoto pastinya akan memberikan barisan pilihan pemain yang lebih baik dan sesuai diturunkan dalam kesebelasan utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram