SAINGAN musim 2023 sudah pun melabuhkan tirainya dengan pasukan Johor Darul Takzim berjaya mengesahkan kejayaan treble buat kali kedua berturut-turut selepas dinobatkan juara Piala Malaysia, Piala FA dan merangkul kejuaraan Liga Super September lepas.
Situasi itu nyata mengundang rasa cemas pasukan lain yang pastinya sudah menekan butang 'panik' bagi menghadapi saingan musim depan.
Perak FC antara pasukan pencabar yang dijangka mampu menyerlah musim 2024 selepas mempamerkan peningkatan sejak dikendalikan Yusri Che Lah pada pertengahan saingan lalu.
Senarai bocor skuad Perak musim 2024 menunjukkan betapa The Bos Gaurus (TBG) sudah mula membuat persediaan bagi menghadapi cabaran akan datang yang pastinya akan dimeriahi dengan kedatangan pemain baharu berkualiti.
Adam Nor Azlin, Haziq Nadzli, Kenny Palraj dan Nazirul Naim antara individu yang dikatakan bakal berhijrah ke skuad Seladang musim depan selepas berita itu kerap diperkatakan di laman media kebelakangan ini.
Namun, penyokong setia TBG rata-ratanya seperti sudah menyasarkan beberapa muka yang dikatakan lebih sesuai dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai tonggak utama pasukan musim 2024.
1. Hazwan Bakri
Bekas penyerang sensasi Harimau Malaya, Ahmad Hazwan Bakri menjadi pilihan utama peyokong Perak susulan pengalaman serta prestasi cemerlang dimiliki pemain berusia 32 tahun itu satu ketika dahulu.
Meskipun kurang mendapat pendedahan di JDT, namun bakat serta ketajamannya ketika melakukan ledakan antara tarikan utama pemain kelahiran Sabah itu ke Perak.
Tidak dinafikan, minit permainan yang kurang memihak kepadanya di Harimau Selatan membuatkan namanya kian tenggelam musim ini.
Namun, kepercayaan dan sokongan padu peminat terhadapnya dijangka mampu mengembalikan prestasi cemerlang yang pernah dikecapinya sekitar tahun 2016.
2. Shahrul Saad
Seorang lagi pemain JDT, Shahrul Saad juga dikaitkan kembali ke Perak selepas persembahannya semakin memuncak sejak menyarung jersi Harimau Selatan.
Pernah menyinar bersama Sang Seladang sebelum ini, pemain pertahanan yang mesra digelar 'Badak' itu dijangka mampu mempertahankan kubu pasukan dari serangan lawan di samping corak permainannya yang semakin matang, juga antara ciri pemimpin yang diperlukan pasukan Perak.
Kepulangannya ke Perak merupakan satu penantian yang ditunggu-tunggu peminat Seladang dan dijangka akan berterusan sekiranya pemindahan Shahrul Saad ke pasukan itu menjadi realiti.
3. Brendan Gan
Status pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan semakin hangat diperkatakan di laman media kebelakangan ini susulan jodohnya bersama Gergasi Merah dijangka berakhir selepas empat musim bersama kelab tersebut.
Khabar angin kuat mengatakan pemain warisan kebangsaan itu bakal berhijrah ke Sabah FC musim depan.
Namun, desakan beberapa kumpulan penyokong di Perak, seperti enggan merelakan Brendan Gan ke pasukan terbabit susulan khidmatnya dikatakan lebih bersesuaian sekiranya beraksi di bawah kendalian Yusri Che Lah.
Status selaku ketua pasukan Selangor juga antara kelebihan yang mampu menyumbang kepada kejayaan Perak dengan fizikal tegap serta pengalaman beraksi di peringkat tertinggi, pastinya ditagih pasukan TBG yang rata-ratanya dianggotai pemain muda ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram