[VIDEO] Rempuh lembu sampai terkangkang ekoran jalan gelap gelita, bukan ‘first time’ berlaku di Segamat


  • Tular
  • Khamis, 21 Dis 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan pemandu yang merempuh seekor lembu di laluan Pekan Bekok, Segamat.

LALUAN sempit, gelap dan tidak rata dikatakan antara punca kemalangan membabitkan sebuah kereta yang merempuh seekor lembu di Pekan Bekok, Segamat, Johor pada Rabu.

Kejadian yang berlaku pada lewat malam itu berlaku apabila pemandu terbabit dipercayai tidak perasan akan kewujudan haiwan tersebut dan melanggarnya sehingga tercampak di laluan berkenaan.

Meskipun beberapa kali cuba diberikan amaran oleh kenderaan lain dari arah bertentangan menerusi lampu tinggi yang dinyalakan, pemandu berkenaan gagal menekan brek dan sekali gus mengakibatkan perlanggaran berlaku.

Rakaman itu dirakamkan menerusi kamera dashcam dan hangat diperkatakan di laman media sejak Khamis.

Terkesan dengan insiden tersebut, rata-rata penduduk di situ mendakwa ia merupakan kejadian berulang dan turut mendesak agar kerajaan memperluas teknologi garisan 'glow in the dark' di laluan berkenaan.

"Bukan kejadian kali pertama berlaku, laluan situ memang sempit dan berbahaya, lampu jalan pula tak ada jadi lebih baik buat garisan 'glow in the dark' yang canggih itu," kata Ahmad Fauzi.

"Buat la garisan 'glow in the dark', sekurang-kurangnya pemandu nampak jalan, ini lembu ke haiwan gajah melintas mana boleh nampak kalau dah jalan pun gelap mengelirukan," ujar Farish Naswi.

"Berapa ekor dah lembu terkorban laluan Pekan Bekok ni, semua sebab jalan gelap, orang pula mana pandu perlahan semua jenis tekan minyak tapi tak nampak jalan," jelas Rizamankun.

"Minta kerajaan tambah garisan 'glow in the dark' dekat situ, tempat lain boleh takkan kawasan kampung macam ini terkecuali," tambah Dhiarini.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan status kecederaan mangsa juga belum diketahui.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram