JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada Rabu mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga Khamis.
METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan di Pahang melibatkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor pula membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah digesa meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
"NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui talian 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected]," menurut kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram