
SELEPAS lebih 20 tahun bergelar pemain profesional, bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah memilih untuk mengumumkan persaraannya awal Disember lalu.
Penyerang yang cukup dikenali dengan karakter berwarna-warni itu memilih untuk menamatkan kariernya dengan usianya sudah mencecah 42 tahun.
Jadi, untuk mengingati jasanya, pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor tersebut diraikan dalam satu sambutan kecil-kecilan selepas aksi Liga Super antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, Sabah.
Ucapan penghargaan turut kelihatan bertebaran di media sosial dengan peminat bola sepak tanah air pastinya merindui kelibat Amri selepas ini.
Turut tidak mahu ketinggalan memberikan kata-kata penghargaan terhadap penyerang itu ialah bekas pasukannya, Selangor FC yang cukup sinonim sepanjang kariernya.
Amri mengumumkan persaraannya selepas lebih 20 tahun bergelar pemain profesional. — Facebook/Sabah FC
Dia yang memulakan zaman profesional bersama kelab Lembah Klang itu pada 2002 mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang 16 tahun berkhidmat buat pasukan itu.
Bagaimanapun, keputusan Selangor FC menghargai pemain yang dikenali sebagai Wak Am itu menerima respons bercampur-baur daripada sebahagian peminatnya.
Ia berikutan kata-kata yang pernah diberikannya selepas meninggalkan pasukan tersebut pada 2019 dengan mengatakan skuad Gergasi Merah tidak akan meraih kemenangan setiap kali bertemunya.
Jadi, ucapan itu sedikit sebanyak merobek hati penyokong sehingga ada daripada mereka tidak menganggap Amri sebagai legenda pasukan meskipun memegang rekod penampilan terbanyak buat mereka sepanjang zaman.
Namun, pemain tersebut seakan-akan tidak mengendahkan kata-kata negatif yang dilontarkan apabila dia tampil menghargai ucapan maju jaya daripada Selangor FC di Instastory peribadinya.
Tangkap layar daripada Instastory dibuat Amri pada Sabtu.
"Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat mencipta nama. Terima kasih," katanya ringkas dalam satu hantaran pada Sabtu.
Untuk rekod, Amri mencatatkan 412 penampilan buat skuad Gergasi Merah dengan 138 gol dijaringkannya sepanjang 16 tahun perkhidmatannya.
Selain Selangor FC dan Sabah FC, penyerang berkenaan juga pernah mewakili beberapa kelab Liga Super yang lain, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Sarawak FA.
Pelbagai pencapaian pernah diraih Wak Am sepanjang kariernya yang gilang-gemilang, termasuk ketika membantu skuad Harimau Selatan menjulang Piala AFC 2015.
Rekodnya bersama skuad kebangsaan juga tidaklah begitu mengecewakan dengan 62 penampilan dikumpulnya sejak mencipta debut pada 2004. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram