BARU-BARU ini, peminat bola sepak tanah air menerima perkhabaran bahawa bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah mengumumkan persaraannya sebagai seorang pemain profesional.
Dia yang pernah mewakili beberapa pasukan Liga Super menamatkan kariernya bersama skuad Sang Badak yang disertainya dua musim lalu.
Keputusan berkenaan diterima baik ramai pihak memandangkan pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor terbabit sudah berusia 42 tahun.
Jadi, sambutan meriah diberikan peminat bola sepak tanah air di laman media sosial ketika dia diturunkan sebagai pemain gantian dalam aksi terakhir Liga Super 2023 antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Tidak terkecuali meraikan kariernya yang penuh gilang-gemilang ialah Selangor FC yang memberikan ucapan persaraan buat Amri di laman media sosial rasmi kelab.
Kata-kata penghargaan diberikan kepada Amri atas jasanya selama 16 tahun bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Kata-kata penghargaan itu dibuat memandangkan pemain berkenaan pernah menabur bakti buat skuad Gergasi Merah selama 16 tahun secara keseluruhan.
Dia yang mencipta debut buat pasukan terbabit pada 2001 pernah meraih pelbagai momen indah, termasuk ketika membantu mereka mencatatkan kejayaan 'treble' lima tahun berselang.
Bagaimanapun, pada 2013, pemain berkenaan mengambil keputusan menyertai pencabar baharu, Johor Darul Takzim yang ketika itu baru sahaja menjinakkan diri dalam landskap bola sepak tanah air.
Tetapi, sesetengah penyokong masih berasakan langkah itu tidak memadam legasinya sebagai antara legenda Selangor FC berdasarkan komen diberikan terhadapnya.
"Walaupun tindak-tanduk anda selepas berpindah kadang kala melukakan hati peminat, namun satu fakta yang tidak boleh disangkal, anda memang salah seorang legenda Selangor. Selamat bersara Wak Am!" kata RDin Daud.
Amri merupakan satu figura yang cukup dihormati di dalam mahupun di luar padang. — Facebook/Sabah FC
"Terima kasih Amri Yahyah, 16 musim berbakti untuk skuad Merah Kuning. Tetap legenda Selangor," ujar Fiz Fendy.
Namun, masih juga beberapa kata-kata diberikan menyatakan bahawa pemain itu kurang disenangi selepas memilih untuk menyertai seteru utama.
Tidak cukup dengan itu, kata-katanya selepas meninggalkan Selangor FC pada 2019 juga dianggap tidak menghormati bekas pasukannya berkenaan.
Dia yang ketika itu mempunyai perselisihan faham dengan bekas pengendali pasukan, mendiang B Sathianathan berkata, skuad Gergasi Merah akan mengalami kekalahan setiap kali bertemunya.
Kata-kata yang pernah diungkapkan Amri selepas meninggalkan Selangor FC.
"Dulu saya memang hormat dia, tetapi sekarang tidak kerana bukan sebab dengki, namun kerana sikapnya yang berasakan dirinya bukan anak kelahiran Selangor dan bukan berjaya dari Selangor FC," ujar Hamdan Zainudin.
"Dia hanya pemain tempatan yang hebat Selangor FC pernah ada. Legenda merupakan mereka yang kekal setia bersama Selangor FC seperti Azman Adnan," kata Najmi Najib.
Untuk rekod, Amri menjaringkan 138 gol sepanjang 16 tahun bersama skuad Gergasi Merah dengan rekod itu meletakkannya di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak pasukan.
Selain itu, namanya turut terpahat dalam kenangan peminat pasukan Lembah Klang itu selepas merekodkan 412 penampilan yang merupakan penampilan terbanyak buat seorang pemain Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram