NASIB buruk terus menimpa Kelantan FC apabila mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Super yang dibolosi sebanyak 121 gol dan mengakhiri saingan Liga Super 2023 di kedudukan ke-14.
The Red Warriors (TRW) hanya mencatatkan dua kemenangan, dua seri dan 22 kekalahan selepas 26 perlawanan berlangsung sekali gus mengutip lapan mata sahaja.
Bukan sahaja mencipta kekalahan, Kelantan terus berdepan dengan pelbagai kemelut musim ini terutamanya isu kewangan yang melibatkan masalah tunggakan bayaran gaji kepada pemain.
Susulan masalah yang timbul itu, ramai pemain utama mula angkat kaki dan pasukan itu terpaksa menggunakan khidmat ubi muda untuk beraksi dalam saingan Liga Super berdepan dengan pasukan berpengalaman.
Sebahagian aksi barisan pemain Kelantan FC yang tewas di tangan Kelantan United dalam aksi terakhir Liga Super musim ini. — Facebook/MFL
Berikutan mencipta rekod yang agak menyedihkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menyuarakan pandangannya yang melihat hanya golongan diraja mampu menjadi penyelamat pasukan tersebut.
"Sudah sampai masanya Kelantan juga harus dapat bantuan golongan diraja. Sama ada melalui pemilikan atau macam mana.
"Seperti Johor Darul Takzim, Selangor dan juga Pahang. Sukan untuk rakyat," katanya melalui hantaran dalam laman Facebook miliknya.
Bagaimanapun, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut yang mengatakan bahawa hanya golongan diraja mampu menjadi penyelamat kejatuhan pasukan Kelantan musim ini.
"Bukan masalah golongan diraja, kena ada yang betul-betul faham pasal football management, passion dan berduit," kata Mohd Fareez Akmal.
Mohd Taufik pula meninggalkan komen berbunyi," Kenapa perlu libatkan golongan raja? Tak semua anak raja minat bola...anak raja Terengganu minat ragbi, siap ada stadium ragbi nama anak sultan lagi.
"Pastikan minta bidang pengurusan bola sepak bukan sekadar untuk take over," kata Ahmad Azriee pula.
"Benda ni kena ada deep passion and intelligence, bukan sekadar kewangan," kata Lina Salina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram