[VIDEO] Nilai pasaran semakin jauh, Arif Aiman buktikan kekal di Liga M lebih berbaloi


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Arif Aiman (kiri) kini semakin mendapat perhatian 'scouting' luar negara untuk beraksi di Eropah.

PRESTASI konsisten Arif Aiman Hanapi sejak melakukan debut bersama skuad utama Johor Darul Ta'zim (JDT) kini mendapat perhatian ramai pihak luar negara.

Malah ramai ejen pencari bakat secara jelas berminat untuk membawa Arif Aiman beraksi di Eropah dengan kelebihan yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu.

Musim ini, pemain sayap kanan JDT itu menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan dengan 18 gol dan 16 bantuan jaringan (assist) dalam 33 perlawanan bersama Harimau Selatan.

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu juga merupakan tonggak utama Harimau Malaya dalam membentuk gandingan serangan bersama-sama Darren Lok dan Muhammad Faisal Halim.

Arif Aiman

Arif Aiman musim ini menjaringkan 18 gol bersama JDT.

Dengan kehebatan yang ditampilkan oleh Arif Aiman, peminat bola sepak mula mendesak agar pemain muda itu berkelana ke Eropah sekali gus menempa namanya di liga yang lebih kompetitif.

Namun adakah anda lupa dengan penurunan prestasi penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang pernah menjadi sensasi suatu ketika dulu.

Luqman Hakim turut pernah mendapat jolokan sebagai pengganti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau 'Supermokh' selepas dia meledak empat gol dalam perlawanan menentang Tajikistan di Piala AFC Bawah-16 (B-16) tahun pada 2018.

Salah seorang penyokong, Wak Denz dalam Facebook, membandingkan nilai pasaran semasa Arif Aiman dan Luqman Hakim yang jauh berbeza meskipun mereka hadir daripada AMD.

Menurut penyokong itu, dia lebih mencadangkan agar pemain-pemain muda membuktikan diri dalam Liga Malaysia (Liga M) terlebih dahulu sebelum mencuba nasib berkelana ke luar negara.

Netz

Perkongsian yang dibuat oleh Wak Denz dalam Facebook.

Nilai Luqman Hakim semakin menurun selepas dia menyertai kelab Belgium, K.V. Kortrijk kerana kurang mendapat peluang beraksi bersama pasukan itu.

Sejak 2020, Luqman Hakim hanya beraksi sebanyak tiga perlawanan sebelum dipinjamkan ke kelab Iceland, UMF Njardvik pada tahun ini.

Bersama UMF Njardvik, pemain berusia 21 tahun itu beraksi sebanyak 12 perlawanan dan menjaringkan dua gol.

Luqman Hakim juga masih belum berjaya memecah masuk ke dalam skuad utama kebangsaan sedangkan Arif Aiman kini prospek utama Kim Pan-gon untuk mara lebih jauh ke dalam Piala Asia 2023 Qatar tahun depan.

Tetapi jangan risau! Luqman Hakim pasti bangkit kerana kita penyokong bola sepak pernah melihat aksi yang lebih baik pernah ditampilkannya.

Dengan rekod pencapaian lampau serta sifat mahu bangkit, Luqman Hakim pasti mampu mengulangi corak permainan yang lebih efektif pada masa akan datang.

Perjalanan Luqman Hakim dalam arena bola sepak negara masih lagi jauh dengan usianya yang baru mencecah 21 tahun.

Musim depan, pemain kelahiran Kelantan itu dikaitkan kembali ke Liga M dengan Selangor FC difahamkan menjadi antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram