Hilang masa sesi latihan pramusim Pahang, bekas pemain kebangsaan pernah muncul di bench JDT


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Amirul Hadi antara wajah utama Pahang dalam kemenangan Piala Malaysia ke atas Kelantan pada 2013. — Agensi

PEREBUTAN pemain antara pasukan Liga Malaysia (Liga M) sering kali berlaku dalam senario jendela perpindahan dan lebih teruk lagi apabila ada antara mereka yang menandatangani dua kelab dalam satu masa.

Perkara berkenaan pernah terjadi kepada bekas pemain kebangsaan, Amirul Hadi apabila dikatakan sudah menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang tetapi diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim 2014.

Memetik laporan media pada Disember 2013, pegawai dan pemain Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) apabila pemain tengah itu 'hilang' ketika menjalani ujian kecergasan pasukan menjelang jelajah pramusim Hong Kong.

Ironinya, Amirul Hadi ketika itu dilihat memakai baju JDT berwarna putih di bangku simpanan semasa perlawanan persahabatan antara JDT dan Tampines Rovers Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Walaupun Amirul Hadi tidak memainkan sebarang peranan dalam kemenangan 7-1 skuad Harimau Selatan tersebut namun dia dilaporkan sudah menghabiskan tiga hari terakhir berlatih bersama pasukan JDT.

hadi pahang

Amirul Hadi antara tonggak utama Pahang pada musim 2013. — Agensi

Amirul Hadi yang sebelumnya menyertai Pahang pada musim 2012 selepas tujuh tahun bersama Selangor adalah antara 21 pemain tempatan dan empat pemain import yang didaftarkan oleh PFA.

Sumber PFA berkata, Amirul Hadi sudah bersetuju dengan perjanjian baharu sekitar November 2013 dan sepatutnya menjalani latihan bersama rakan sepasukannya namun lain pula jadinya apabila kelibatnya berada di perlawanan JDT.

"Amirul sepatutnya bersama pemain lain yang berlatih di Kuantan. PFA tidak tahu mengapa dia berada di bangku simpanan JDT. Dia mempunyai kontrak dengan Pahang dan merupakan sebahagian daripada rancangan kami untuk musim baharu.

"Dia berlatih dengan rakan sepasukannya di Kuantan minggu lalu malah turut beraksi dalam perlawanan persahabatan Pahang menentang Shahzan Muda," kata sumber berkenaan memetik laporan media tempatan.

Perkembangan terbaru tersebut mengejutkan semua orang dan pihak PFA ketika itu berharap agar pemain kelahiran Melaka itu harus lebih profesional dalam memutuskan perkara mengenai masa depannya.

amirul hadi

Amirul Hadi menyertai JDT pada awal musim 2014. — Agensi

"Dia mahu terus bermain untuk Pahang dan telah menandatangani perjanjian baharu. Kini, jika beliau memilih untuk berpindah, pastinya Pahang akan mengalami tamparan hebat.

"Sekiranya dia memaklumkan PFA lebih awal, maka kami akan meninjau dan menandatangani pengganti yang sesuai.

"Kini dengan tarikh akhir pendaftaran ditutup, pasukan itu tidak akan dapat membawa masuk pemain yang berkaliber," katanya.

Selepas Pahang merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 3 November 2013, Amirul Hadi dilaporkan antara pemain baharu JDT untuk musim 2014 namun presiden PFA, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengesahkan pemain itu menyambung kontraknya bersama Pahang.

Kontroversi itu bagaimanapun terungkai apabila Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) memutuskan Amirul Hadi sah menjadi milik pasukan JDT selepas Jawatankuasa Status badan induk itu mendapati kontrak pemain berkenaan bersama Pahang didapati meragukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram