TFC mahu jadi pencabar terkuat JDT musim depan — CEO Terengganu FC


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Terengganu FC menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam musim ini. — Facebook/TFC

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd Sabri Abas, berkata, pasukan itu menaruh kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk meraih lebih banyak kejayaan buat Skuad Peteh itu musim depan.

Ini selepas pengendali kelahiran Croatia itu berhasil membawa Sang Penyu menjadi naib juara Piala Malaysia dan menduduki tempat keenam Liga Super musim ini, lapor Stadium Astro.

Dalam satu tembual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, dia berkata: "Kami di TFC memang sentiasa menetapkan KPI (indeks prestasi utama) yang cukup tinggi bagi barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan ini.

"Saya melihat ini sudah menjadi kebiasaan buat barisan jurulatih dan pengurusan kami.

"Kita sedia maklum bahawa di TFC, kami sentiasa mahu menjadi pencabar terkuat, bukan sahaja kepada pasukan JDT (Johor Darul Takzim), yang kita sedia maklum pasukan yang cukup lengkap, malah kami juga berhasrat untuk menjadi pencabar kepada pasukan lain seperti Selangor, Kedah (Darul Aman) dan juga Sabah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram